Politik dalam masjid: TMJ beri amaran ini

Politik dalam masjid TMJ beri amaran ini

Politik dalam masjid: TMJ beri amaran ini. Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melarang mana-mana surau atau masjid di negeri ini dijadikan tempat menyebar dakyah atau perbincangan hal ehwal politik.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, perintah Tunku Ismail yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu selaras Seksyen 96 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Ingin ditegaskan bahawa penganjuran program-program berbaur politik dalam masjid tidak boleh dilaksanakan sama sekali dan mana-mana pihak yang berkompromi membenarkan pelaksanaan program berunsur politik juga akan diambil tindakan.

“Sebarang aktiviti berbentuk ceramah agama, usrah, perkongsian ilmu agama atau lain-lain perlulah mendapat tauliah kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Politik dalam masjid TMJ beri amaran ini

“Penceramah yang menyampaikan ceramah dan perkongsian ilmu juga perlu mendapat pentauliahan dan pengiktirafan rasmi oleh MAINJ. Kelulusan MAINJ menjadi keutamaan dan penekanan berhubung isu larangan ceramah politik dalam masjid perlu diberikan perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas MAINJ di Bukit Timbalan di sini pada Selasa.

Mohd Fared berkata, arahan berkenaan larangan itu akan diletakkan di 850 masjid dan 2,000 surau seluruh Johor dengan kadar segera.

Menurutnya, MAINJ juga akan mengadakan pertemuan dengan pengerusi masjid, surau, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua setiap parti politik di negeri ini bagi menerangkan mengenai larangan itu.

“Selain tempat beribadat, masjid berfungsi sebagai medan perkembangan dakwah dan penyebaran ilmu melalui program syarahan atau ceramah agama oleh penceramah yang bertauliah. Ia menjadi tempat berkumpul orang Islam untuk mengadakan majlis keagamaan, mesyuarat dan kegiatan yang berkaitan menjurus kepada kesatuan silaturahim umat Islam.

“Bagaimanapun, masjid dan surau kini disalahgunakan sesetengah pihak yang tidak sensitif apabila program-program keagamaan dicampuradukkan kandungannya dengan unsur politik sehingga menyebabkan salah faham dan perpecahan dalam kalangan umat Islam,” tegasnya.

Pada masa sama katanya, terdapat juga pihak yang berselindung di sebalik program keagamaan dengan menggunakan pentas ceramah, kuliah atau syarahan di masjid untuk menyelitkan unsur-unsur fitnah dan menyebarkan fahaman politik tertentu.

Tambahnya, larangan itu telah diperingatkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar saban tahun yang bertitah agar kesucian dan ketinggian martabat mana-mana masjid dan surau di negeri ini perlu dikekalkan tanpa dicemari dengan program atau aktiviti berkaitan penyampaian ideologi politik.

BACA:

Pelaburan makin mencanak naik bawah PMX, Intel pula nak labur RM30 Billion

Kedai sarbaneka kena kecam selepas buat ayat ‘hanya orang OKU tak buang lepas makan’

CATEGORIES