Polis punya asas hantar pulang warga Turki – PM

Polis mempunyai asas yang kukuh untuk menghantar pulang seorang guru warga Turki dan keluarganya yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana polis mempunyai bukti yang lelaki itu tidak harus berada dalam negara ini.

“Tindakan ini diambil pihak polis, mereka mempunyai bukti yang menyebabkan mereka (polis) ini berpendapat yang mereka ini tidak harus berada dalam negara,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal (FMT) yang melaporkan pihak berkuasa Malaysia akan mengusir seorang guru Arif Gomis, 43, isteri dan anaknya atas dakwaan terbabit dalam satu gerakan yang dilabelkan Ankara sebagai ‘pengganas’, walaupun selepas mereka diberi perlindungan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Difahamkan Arif terdedah kepada bahaya jika dipulangkan ke negara asalnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pihak yang membandingkan tindakan itu dengan isu pendakwah terkenal Dr Zakir Naik, Dr Mahathir berkata perbandingan itu hanya bertujuan mencetuskan kontroversi.

“Banding dengan Zakir Naik supaya ia ada kontroversi… kita layan kes mengikut asasnya.

“Zakir Naik kita nak hantar ke mana? you kalau dapat cari tempat dia boleh (selamat) pi tolong bagi tau saya,” katanya.

BERNAMA