Polis batal saman tak pakai ‘face mask’ dalam kereta sendiri

Polis batal saman tak pakai ‘face mask’ dalam kereta sendiri

Polis akan membatalkan saman yang dikeluarkan kepada individu yang tidak memakai pelitup separuh muka ketika menaiki kenderaan persendirian.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu dalam sidang media hari ini.

“Semalam, ada yang disaman kerana dalam kenderaan persendirian (tidak memakai pelitup muka).

“Saya dah bincang dengan pihak polis, mereka akan batalkan saman tersebut. Kalau dah bayar, boleh tuntut semula dengan Kementerian Kesihatan,” katanya tanpa menyebutkan jumlah individu yang disaman dalam situasi berkenaan.

Sejak 1 Ogos, kerajaan mewajibkan orang ramai memakai pelitup separuh muka di kawasan awam.

Namun, timbul kekaburan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang mengundah kritikan, terutama bagi mereka yang terkejut kerana disaman di tempat-tempat tertentu.

Semalam, tular di media sosial tentang sebuah keluarga yang menaiki kenderaan persendirian disaman kerana tidak memakai pelitup separuh muka.

Terdapat juga kejadian di mana orang awam yang sedang berkelah di pantai didenda, yang telah menjadi topik perbahasan di kalangan pengguna media sosial.

Sementara itu, Ismail menyatakan keyakinannya terhadap polis untuk menggunakan budi bicara mereka dalam mengeluarkan saman berhubung perkara itu.

Dia menegaskan bahawa orang ramai wajib memakai pelitup separuh muka di kenderaan awam seperti bas, teksi, kenderaan e-hailing, LRT dan KTM, serta tempat awam yang sesak.

Tempat awam yang sesak termasuk pasar malam, pasar raya, pasar basah, pawagam, dan tempat-tempat pelancongan.

Bagaimanapun, kata Ismail, tidak wajib memakai pelitup separuh muka di kenderaan persendirian dan semasa melakukan aktiviti fizikal.

Kanak-kanak di bawah usia dua tahun juga tidak perlu memakai topeng muka untuk mengelakkan sesak nafas.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/537151

COMMENTS