PN tiada semak imbang, perubahan harus berlaku segera – Anwar

PN tiada semak imbang, perubahan harus berlaku segera – Anwar

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memegang tampuk kuasa susulan gerakan politik kini mentadbir negara tanpa adanya semak dan imbang, menurut pemimpin PH Anwar Ibrahim.

Dengan ketiadaan unsur penting itu, ahli politik veteran berusia 72 tahun itu berkata PH tidak boleh menunggu sehingga PRU ke-15 untuk mengambil semula pentadbiran negara.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya semalam, beliau membayangkan PH tidak akan mencetuskan pilihan raya mengejut tetapi sedang berusaha mendapatkan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat, sebelum membuat langkah seterusnya.

“[… ] Tentulah, tiada harapan jika anda benarkan (kerajaan) terus (mentadbir) tanpa diawasi.

“Tiada semakan di Parlimen, media arus perdana tampak lebih tunduk sekarang dan ada gangguan terhadap masyarakat sivil, wartawan dan sebagainya.

“Jadi saya fikir kita tiada pilihan selain memastikan perubahan berlaku lebih cepat dan tidak menunggu sehingga pilihan raya,” katanya.

Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu selepas bekas timbalan Anwar dalam PKR, Azmin Ali dan sekutunya serta kem Bersatu yang menyokong Muhyiddin Yassin keluar daripada gabungan itu, untuk membentuk PN bersama-sama Umno, BN dan PAS, dan disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu menunjukkan PN hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Mutakhir ini, PH bersama-sama kem Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu dan Warisan membayangkan memiliki jumlah yang cukup untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan.

Dalam siaran langsung di Facebook semalam, Anwar berkata PH memiliki 107 anggota Parlimen. Beliau kemudian berkata kepada Malaysiakini angka itu merupakan ‘jangkaan konservatif’, iaitu mungkin lebih rendah daripada yang sebenarnya.

Hari ini pejabat Anwar menjelaskan bahawa angka itu merangkumi PH, Warisan dan anggota Parlimen yang menyokong Mahathir, tetapi tidak mengambil kira anggota Parlimen bebas dan kalangan yang tidak hadir dalam mesyuarat PH awal minggu ini.

Setuju dengan Najib soal majoriti tipis

Dalam wawancara ini, Anwar menegaskan beliau tidak akan berkompromi dalam soal prinsip hanya demi menang dalam “permainan angka”.

Presiden PKR itu juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beliau mengadakan perbincangan dengan GPS, dan hanya berkata beliau berhubung dengan semua pihak.

Sokongan GPS boleh menjadi amat penting buat PH dalam usaha menyingkirkan PN tetapi pada masa sama, gabungan itu perlu memastikan anggota Parlimennya sendiri tidak bertukar arah, seperti Jugah Muyang (Lubok Antu) yang keluar PKR minggu lalu.

Ditanya berkenaan perkara itu, Anwar optimis anggota Parlimen PKR yang lain tidak akan mengambil langkah sama atau terumpan untuk meninggalkan PH ekoran masalah kewangan atau “tawaran yang sangat menarik”.

“(Jugah) ada menyuarakan kesukaran berkhidmat di kawasannya, tiada cukup wang (untuk berkhidmat). Saya kata kita kena tunggu, apa lagi yang boleh kita buat,” katanya.

Dalam soal ini, Anwar berkata masalah tidak timbul jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa berwaspada dan giat melawan apa yang didakwanya sebagai percubaan membeli sokongan wakil rakyat.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/529774

COMMENTS