PN terus berbagi habuan, giliran Idris Jusoh jadi pengerusi Felda

PN terus berbagi habuan, giliran Idris Jusoh jadi pengerusi Felda

Felda hari ini mengumumkan pelantikan Idris Jusoh sebagai pengerusinya yang baru berkuat kuasa 1 Mei lalu.

Idris yang merupakan anggota parlimen Besut mengambil alih tugas itu daripada Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Felda sebelum ini.

Pengarah Besar Felda, Dr Othman Omar berkata, beliau mengalu-alukan pelantikan tersebut bagi pihak lembaga pengarah, pengurusan, kakitangan dan warga peneroka Felda.

“Kami yakin, dengan pengalaman dan kepimpinan Datuk Seri, usaha pemulihan Felda akan diteruskan dan dipercepatkan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu Othman juga menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Bakke di atas segala usaha dan sumbangan beliau semasa menyandang jawatan pengerusi Felda.

“Beliau amat komited dalam membawa pelbagai pembaharuan dan strategi pemulihan terutamanya dalam menjayakan pelan transformasi menerusi inisiatif Kertas Putih Felda.

“Komitmen beliau telah memberikan semangat kepada seluruh warga Felda untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memastikan organisasi ini terus maju dan mencapai pertumbuhan yang stabil dan lestari,” tambahnya.

Nama Idris sebelum ini disebut-sebut mengisi jawatan berkenaan, selain beberapa lagi pimpinan Umno yang diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antaranya ialah naib presiden Umno, Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai pengerusi Prasarana Sdn Berhad.

Idris pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dari Julai 2015 hingga Mei 2018 dan Menteri Pendidikan II (gabungan Menteri Pelajaran & Pengajian Tinggi) dari 16 Mei 2013.

Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau termasuk sebagai Menteri Besar Terengganu (2004-2008) dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Timbalan Menteri Usahawan (1995-1999).

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/525010

COMMENTS