PN gagal urus ekonomi untuk bantu rakyat waktu Covid-19

PN gagal urus ekonomi untuk bantu rakyat waktu Covid-19

Beberapa hari yang lalu, Menteri Kewangan memaklumkan sebanyak RM1.7 bilion permohonan baharu dan rayuan untuk BPN telah diluluskan. Namun, kita dikejutkan dengan beberapa khabar angin yang tidak enak termasuklah rungutan daripada Mak Cik Kiah yang mendakwa janji-janji bantuan kewangan daripada Abah Din hanyalah indah khabar daripada rupa apabila jumlah BPN yang diluluskan adalah kurang berbanding yang dijanjikan.

Lebih malang lagi apabila ada sebilangan rakyat yang mendakwa permohonan mereka tidak diluluskan hanya kerana mempunyai entiti perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedangkan Kerajaan tidak pernah memaklumkan wujudnya syarat sedemikian. Kerajaan seakan mengambil enteng kesesakan rakyat yang tidak berduit-bermewah berbanding golongan elit politik yang cukup makan, cukup pakai di waktu-waktu sebegini.

Sehingga pertengahan Mei ini, operasi Kerajaan yang lambat mengkreditkan bantuan tunai ke dalam akaun rakyat yang berkelayakan sangat memberi kesan kepada golongan B40 terutamanya peniaga kecil yang tidak dibenarkan beroperasi ataupun mereka yang bergaji hari walaupun permohonan sudah pun dibuat sejak awal April lagi.

Kita harus menempelak tindakan Kerajaan yang masih sempat bermain helah dan cuba mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat apabila mereka membenarkan pengeluaran duit tabungan dari Akaun 2 KWSP di bawah program i-Lestari. Rakyat seakan dikaburi dengan perwatakan suci yang ditampilkan oleh Abah Din kerajaan pintu belakang sedangkan pengumuman itu secara jelas memberi signal “jagalah diri sendiri” dengan menyuruh rakyat menggunakan tabung simpanan peribadi demi kelangsungan hidup. Kerajaan berjaya mengelirukan rakyat secara hidup-hidup apabila meletakkan kemudahan ini di dalam Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN yang berjumlah hampir RM1.66 bilion tanpa perlu mengeluarkan peruntukan yang berpatutan daripada duit institusi Kerajaan sendiri.

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan meneruskan wayang politiknya apabila mewajibkan segala bentuk bantuan kecemasan COVID-19 oleh NGO diletakkan di bawah payung agensi kerajaan melalui Jawatankuasa Kebajikan Masyarkat dengan alasan untuk memastikan agihan bantuan adalah lebih tersusun dan tidak bertindan. Ironinya, lain pula yang jadi apabila kita dimaklumkan bahawa operasi mengagihkan bantuan memakan masa yang lebih panjang berbanding jika diagihkan secara langsung oleh NGO kerana masalah komunikasi dan ketiadaan SOP yang jelas dari pihak JKM sendiri.

Di dalam buku Revolutionary Wealth karya Alvin Toffler, beliau menekankan bagaimana perbezaan kelajuan bantuan yang disampaikan oleh NGO dan kerajaan. Penulis berpendapat NGO adalah medium paling laju untuk membantu masyarakat awam kerana dekatnya mereka dengan akar umbi sekaligus memberi mereka kelebihan mengetahui bentuk bantuan yang perlu diberikan berbanding kerajaan yang banyak birokrasi dan tidak mendekati akar umbi dengan baik dan konsisten.

23 April lepas, kita sekali lagi dikejutkan dengan isu bantuan ini di mana YB Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras naik angin apabila mendapati lebih 700 bungkusan makanan yang ditaja Kerajaan bagi membantu golongan terjejas akibat COVID-19 masih lagi dibiarkan tersadai di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, YB Rina Harun berkata bahawa tiada sesiapa yang diketepikan dalam pengagihan bantuan berkenaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) akan tetapi realiti yang berlaku adalah sebaliknya apabila hampir 20 kawasan pembangkang tidak mendapat bantuan yang sepatutnya diedarkan Kerajaan melalui JKM. Begitulah permainan politik Kerajaan Perikatan Nasional yang menasihati rakyat untuk tidak berpolitik. Kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih.

Turut terkena badai jerat Kerajaan Perikatan Nasional ini adalah usahawan dan peniaga mikro yang memohon Geran Khas Prihatin (GKP) berjumlah RM3,000. Sebahagian besar peniaga mikro di Malaysia tidak mengisytiharkan untung rugi perniagaan kepada LHDN. Jadi, mereka ini sekali lagi dikecewakan apabila kerajaan meletakkan pendaftaran dengan LHDN sebagai syarat kelayakan bantuan GKP. Begitulah kompleksnya proses birokrasi yang perlu dilalui oleh peniaga kecil demi mendapatkan secicip bantuan berpunca daripada kelemahan komunikasi Kementerian Kewangan sendiri.

Setiap langkah Kerajaan tanpa mandat rakyat ini hanya menemui kegagalan demi kegagalan. Dengan jumlah kapasiti kabinet yang melimpah ini (bloated cabinet members), Kerajaan sepatutnya mampu merangka pakej yang lebih menyeluruh, berstrategik dan efektif sesuai dengan keperluan rakyat. Kerajaan seharusnya malu dengan rakyat di atas kelompongan demi kelompongan yang disajikan bermula isu keculasan dalam melunaskan janji bantuan kewangan sekecil RM500 dalam kadar segera.

Apatah lagi jika mahu berbicara tentang perbandingan peruntukkan di negara-negara Asia yang lain seperti Jepun yang memberi sehingga RM4,000 kepada rakyatnya yang terkesan dengan COVID-19. Senario-senario yang dihuraikan membawa kita kepada satu persoalan – apa lagi yang boleh kita harapkan dari Kerajaan tebuk atap ini? Betulkah dakwaan Abah Din bahawa mereka ini bukanlah Kerajaan yang kita pilih tetapi Kerajaan yang kita perlukan?

Sheikh Khuzaifah Bawazeer
14 Mei 2020 (PKPB-2)

Sumber: