PN gagal tangani kenaikan harga barang menjelang perayaan – Salahuddin

PN gagal tangani kenaikan harga barang menjelang perayaan – Salahuddin

Mutakhir ini kita telah mendapati banyak rungutan berkenaan kenaikan harga ayam dan sayur. Walaupun krisis wabak Covid-19 mungkin memberi kesan secara tidak langsung kepada permintaan dan seterusnya harga makanan, pihak kerajaan seharusnya melakukan yang sewajarnya untuk memastikan harga barang makanan sentiasa terkawal.

Pihak kerajaan telah mengumumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum sebagai langkah membendung kenaikan harga barangan keperluan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tetapi seperti yang kita sedia maklum, harga ayam dan sayur tetap meningkat. Sekiranya pihak kerajaan menangani masalah rantaian bekalan makanan, perkara ini mungkin tidak akan berlaku.

Sewaktu saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), MOA dan KPDNHEP sentiasa bekerjasama erat dalam memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga bahan makanan berpatutan terutamanya sepanjang musim perayaan.

Tahun lepas, kami telah bertindak secara proaktif melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 15 hari sebelum musim perayaan dan 15 hari lagi selepas itu untuk 27 jenis barang.

Ini bagi memastikan harga barang tidak naik mendadak seperti yang biasa terjadi menjelang Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan. Hasilnya, harga bekalan makanan telah kekal terkawal dan munasabah dalam tempoh tersebut.

Saya ingin menggesa agar kerjasama yang erat antara pihak MOA dan KPDNHEP terus dilakukan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga kekal berpatutan.

SALAHUDDIN AYUB

TIMBALAN PRESIDEN PARTI AMANAH NEGARA

AHLI PARLIMEN PULAI

ADUN SIMPANG JERAM

COMMENTS