PN bukanlah gabungan kerjasama politik yang baik – Tun M

PN bukanlah gabungan kerjasama politik yang baik – Tun M

Najib Razak akan mahu menjadi perdana menteri sekali lagi sekiranya beliau dibebaskan minggu depan atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Jika dia didapati tak bersalah, saya fikir dia akan mahu jadi perdana menteri lagi.

“(Tetapi) Jika dia kalah di mahkamah, sudah tentu dia hilang kelayakan,” Mahathir dilaporkan berkata kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjawab pertanyaan apakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan dicalonkan sebagai perdana menteri oleh Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

Terdapat spekulasi bahawa Muhyiddin mungkin meminta pilihan raya diadakan segera pada tahun ini kerana ingin mendapat mandat daripada rakyat.

Bagaimanapun, Mahathir berkata Bersatu, yang kini berada di bawah kawalan Muhyiddin, akan menghadapi tentangan dari rakan gabungannya, Umno.

“Umumnya, ahli Umno merasakan yang Umno perlu menerajui kerana mereka ada sokongan. Hakikatnya, mereka sudah beritahu Bersatu yang walaupun mereka dalam PN sekarang, mereka masih mahu bertanding lawan Bersatu pada pilihan raya akan datang.

“Umno percaya ia adalah parti terbesar dalam PN dan mereka mahu pegang tunjang kuasa,” katanya yang juga bekas presiden Umno itu.

BN ketika ini mempunyai jumlah anggota parlimen tertinggi dalam gabungan PN, dengan 42 anggota parlimen diikuti oleh Bersatu (31), PAS (18) dan GPS (18).

Bersatu juga baru-baru ini memecat Anggota Parlimen Sri Gading, Shahruddin Salleh dari parti itu kerana duduk bersama blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Ini bererti hanya tinggal enam anggota Parlimen yang menang di bawah tiket Pakatan Harapan pada tahun 2018, sementara 15 yang lain adalah bekas anggota parlimen Umno yang melompat ke parti itu selepas pilihan raya ke-14, sementara 10 lagi adalah bekas anggota parlimen PKR yang berpaling tadah dari PKR untuk bersama kerajaan PN.

Mahathir berkata, kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri tidak selamat kerana PN hanya mendapat sokongan 113 daripada 222 anggota Parlimen, seperti yang ditunjukkan di Dewan Rakyat minggu lalu.

“Disebabkan itu, dia cuba terus berkuasa dengan menggunakan pelbagai kaedah yang sangat tidak demokratik. Ini termasuklah mengenakan tekanan ke atas partinya sendiri untuk menyokongnya, malah menggunakan wang untuk meraih sokongan orang.

“Tetapi, kami merasakan kita perlu kembali keputusan asal rakyat iaitu Pakatan Harapan adalah pilihan rakyat.

“Jadi kami merasakan bila sudah disokong rakyat, kami perlu kekalkan sokongan dengan kembali menjadi kerajaan,” kata Dr Mahathir.

Bekas pengerusi Bersatu itu juga berkata PN bukanlah gabungan kerjasama politik yang baik.

“Pertama sekali, sebenarnya tiadapun perikatan. Ada perbincangan, diketuai Muhyiddin, kemudian PN wujud.

“Tetapi, ia tak pernah didaftarkan. Ia tiada pejabat. Ia hanya ada dalam fikiran orang tertentu. Hanya Muhyiddin beri tanggapan wujudnya perikatan.

“Saya beritahu dia jika dia sertai mereka, dia akan bekerja dengan kleptokrat dari Umno, saya tak bersedia buat begitu.

“Dan saya tak boleh terima Umno semuanya tetapi Muhyiddin kata dia sedia bekerja dengan Najib. Dan begitulah bagaimana dia jadi ketua mereka dan akhirnya jadi perdana menteri.”

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menyampaikan keputusan berhubung kes SRC International membabitkan Najib pada pukul 10 pagi, 28 Julai ini.

Najib didakwa di mahkamah berkaitan dana RM42 juta dari SRC International, yang sebelumnya merupakan anak syarikat 1MDB, sebelum diserap ke Kementerian Kewangan Diperbadankan pada tahun 2012.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya untuk menerima RM42 juta tersebut sebagai balasan kepada jaminan kerajaan berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.

Beliau juga didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah atas wang yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya dalam tiga peringkat, dan tiga tuduhan melanggar undang- undang pengubahan wang haram.

Berita penuh :

https://www.malaysiakini.com/news/535510

COMMENTS