Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah menyatakan sokongannya terhadap dasar yang lebih ketat
yang mengenakan tanggungjawab tambahan kepada bank untuk melindungi pemegang akaun mereka daripada penipuan.
Bercakap di Dewan Rakyat, Anwar berkata beliau bersetuju untuk Malaysia mengadaptasi dasar baharu yang diperkenalkan di United Kingdom bulan lalu,
Denganmemberikan hak kepada pemegang akaun untuk mendapatkan pampasan bagi wang yang hilang akibat penipuan.
“…dan saya setuju prinsip tersebut juga boleh dilaksanakan di sini, namun mungkin kajian perlu dilakukan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya.
Anwar turut menambah, pihak kerajaan akan mengkaji semula langkah-langkah untuk memperketatkan prosedur supaya bank turut bertanggungjawab sekiranya didapati gagal menjalankan pemantauan yang teliti dan memastikan peraturan dipatuhi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap), yang ingin mengetahui komitmen Malaysia terhadap tanggungjawab bank dalam mengelakkan kes penipuan.
Pemimpin PAS itu merujuk kepada dasar baharu di UK, yang menghendaki bank untuk membayar pampasan kepada pelanggan yang menjadi mangsa penipuan pembayaran melalui sistem authorized push payment (APP).
Di bawah dasar yang berkuat kuasa sejak Oktober lalu, bank di UK diwajibkan membayar balik mangsa penipuan sehingga £85,000 dalam tempoh lima hari.
Terdahulu, Anwar juga mengungkapkan bahawa mangsa jenayah dalam talian telah mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM1.224 bilion antara Januari hingga Oktober tahun ini.
Kes-kes ini melibatkan penipuan dalam talian, penipuan telekomunikasi, penipuan cinta, serta pinjaman dan pelaburan palsu.
Menurut perdana menteri, aplikasi SemakMule polis turut mencatatkan angka yang membimbangkan. Setakat ini, lebih 181,000 nombor telefon dan lebih 222,000 akaun bank disenaraikan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan.