PKR perlu lebih tegas tangani pimpinan cenderung khianat – Akmal

PKR perlu lebih tegas tangani pimpinan cenderung khianat – Akmal

KEADILAN perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pimpinan yang berpotensi mengkhianati parti, kata Ketua AMK Akmal Nasir.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan parti berdepan dengan ahli-ahli yang hanya menggunakan parti untuk kepentingan diri sendiri, terutamanya pada pilihan raya umum (PRU 15) akan datang.

“Bagi saya, parti perlu lebih tegas. Terbukti masih ada lagi kadang-kala (ada yang) keluar kenyataan yang begitu songsang dengan keputusan parti.

“Dan mereka yang tiada kekuatan dalam KEADILAN pun hanya masih anggota, tetapi guna nama Keadilan itu untuk serang Keadilan (sesama sendiri).

“Bagi saya, masih banyak pembersihan yang perlu dibuat KEADILAN supaya bila masuk pilihan raya yang akan datang, mereka yang ada kepentingan seperti ini atau pun yang nak gunakan taktik percaturan lawan, kita dapat elakkanlah.

“Kita tak nak bila masuk pilhan raya mereka tukar side dan sebagainya, yang tak bantu KEADILAN mahupun PH itu sendiri,” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini di pejabatnya di Johor Bahru pada Jumaat (15 Mei).

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari selepas Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sepuluh MP KEADILAN yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang Pas, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Sementara itu, pada 12 Mei lalu, dua Adun parti itu di Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar daripada parti itu, dan menjadi Adun bebas yang menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Saya yakin mereka yang tinggalkan (parti) sama ada secara sidang media sebelum sesuatu perkara tu berlaku hanya untuk memancing habuan yang lebih besar dengan harapan bila terbentuk kerajaan, mereka diberi peluang untuk terus berperanan atau dapat ganjaran,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sokongan terhadap KEADILAN untuk PRU akan datang selepas beberapa negeri telah bertukar kuasa kepada PN.

Bagaimanapun, Akmal berkata terdapat tiga negeri yang mampu bertahan di bawah PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Tak mudah berdepan dengan “kartel”

Sebagai ketua Pemuda AMK, Akmal berkata tanggungjawab itu bukan mudah baginya apabila terpaksa berdepan dengan kumpulan bekas timbalan presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali, yang turut dikenali sebagai kartel.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu berkata, ianya bukan sekadar perbezaan pendapat antara kumpulan Azmin, malah dari segi prinsip sudah jauh tersimpang dari perjuangan parti.

Jelasnya, apabila pengkhianatan sedemikian berlaku diikuti dengan pengumuman secara terang-terangan keluar parti, Akmal berkata biasanya ia kerana mereka mempunyai kepentingan jawatan yang ditawarkan seperti jawatan menteri.

Bagaimanapun, dakwa Akmal lagi, terdapat juga pemimpin KEADILAN yang menyerang organisasi secara terbuka sebagai jalan supaya mereka dibuang daripada parti.

“Cuma pandangan dari AMK, kami beranggapan bahawa memang perlu diberi ruang kemaafan sekiranya berlaku keinsafan atau mereka yang kesal dengan apa yang berlaku.

“Tetapi KEADILAN perlu ambil pendirian yang lebih tegas sebab kekhuatiran bukan hanya di kalangan pimpinan, bukan hanya di kalangan akar umbi PKR, malah rakyat biasa yang mungkin terpalit sekiranya berlaku pengkhianatan sekali lagi,” katanya.

Sumber:

COMMENTS