Dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Mac, kegiatan pelancongan masih dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Warta lanjutan perintah itu dikeluarkan awal pagi ini.
Dalam kenyataan hari ini, Ismail berkata sejumlah kegiatan masih tidak dibenarkan di kawasan yang dikenakan PKPP, termasuk di pub dan kelab malam, kecuali operasi restoran di dalamnya.
Dia juga berkata sebarang kegiatan yang melibatkan perhimpunan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal juga dilarang.
Katanya lagi, lanjutan PKPP perlu selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19, yang menurutnya susulan ujian saringan wajib terhadap pekerja asing dan penularan jangkitan dalam komuniti di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.
Semalam, di hari terakhir 2020, Malaysia mencatatkan 2,525 kes baru – yang merupakan kes harian tertinggi semenjak penularan Covid-19.
PKPP dikuatkuasakan di Perlis, Terengganu, Pahang, Melaka, Sarawak, Putrajaya, Labuan, Kedah, dan Kelantan, serta di daerah tertentu di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor, and Selangor.
Terdahulu, kerajaan melanjutkan PKP bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan sehingga 14 Januari. Penguatkuasaan PKPB lebih ketat berbanding PKPP dan dikenakan di kawasan yang memiliki kes yang lebih banyak.
Ia termasuklah di Kuala Lumpur dan Sabah, serta kawasan dalam Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
Sementara itu, Ismail turut memaklumkan pelaksanaan PKP diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Westlife 1 dan 2 di Senai, Johor, selepas 20 kes Covid-19 dikesan di sana.
Asrama pekerja Kejora Juara di Bukit, Pasir, Muar, Johor juga dikenakan PKPD> Terdapait 212 kes positif di sana setakat semalam.
Kedua-dua kawasan dikenakan PKPD bermula esok hingga 15 Januari.
PKPD di Ria Apartmen di Genting Highlands, Pahang pula ditamatkan hari ini setelah semua penduduk menjalani ujian saringan dan hanya dua kes positif dikesan.
Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557292