PKPB : Ramai pihak mula terkesan, rayu lanjut tempoh moratorium

PKPB : Ramai pihak mula terkesan, rayu lanjut tempoh moratorium

Beberapa pengusaha bas hari ini merayu kerajaan agar melanjutkan tempoh moratorium pinjaman daripada syarikat kredit memandangkan mereka kini berdepan detik sukar ekoran pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah.

Mewakili kumpulan itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata hampir 90 peratus pengusaha bas yang membuat pinjaman daripada syarikat kredit terjejas kerana permintaan terhadap perkhidmatan bas berkurangan, menyebabkan pendapatan mereka semakin merosot.

“Ketika ini, kami menghadapi tekanan yang hebat daripada syarikat kredit yang menuntut pembayaran setelah tamatnya tempoh moratorium pinjaman pada Ogos lepas sedangkan kami masih dibelenggu masalah kewangan.

“Keadaan pandemik Covid-19 ini telah menjejaskan periuk nasi kami sehingga kami tidak mampu membayar semula pinjaman… malah ada di antara kami basnya ditarik, hampir muflis serta ada yang menunggu tempoh perbicaraan mahkamah kerana gagal membayar pinjaman,” katanya kepada pemberita di Seremban hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor R Thiagarajan, Presiden Gabungan Bas Persiaran Zon Utara Ahmad Ruslan serta Setiausaha Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia N. Gunaratnam.

“Dalam keadaan yang mendesak ini, saya yakin industri bas akan lumpuh sekiranya luahan kami ini tidak didengari kerajaan. Kita juga memohon supaya kerajaan menyediakan tambahan dana dalam pelan geran khas bagi industri pengangkutan bas demi kelangsungan kami,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/546824

COMMENTS