Penelitian Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan secara Bersasar di Selangor mendatangkan kegusaran banyak pihak.

Bermula dengan peniaga, pekerja swasta dan penduduk di sekitar negeri itu menzahirkan rasa risau jika perintah itu benar-benar dikuat kuasa.

Tinjauan Astro AWANI di sekitar kawasan Petaling Jaya, di sini mendapati, rata-rata mereka tidak bersetuju pelaksaan PKP berkenaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan harian.

Seorang peniaga di Kompleks Pasar dan Penjaja Taman Dato’ Harun, Saayah Yut, 71, memberitahu, ramai yang akan terjejas jika PKP secara Bersasar melibatkan penutupan aktiviti ekonomi dilaksanakan.

Saayah Yut, Peniaga Pasar

Saayah Yut, Peniaga Pasar

“Kami faham kes sekarang tinggi, tapi jika tindakan penutupan dilakukan, kami yang mencari pendapatan harian akan terjejas. Jika tutup, kami mahu makan apa?

“Kalau sudah kena berkurung dalam rumah apa yang boleh kita buat? Nak cari rezeki pun tidak boleh, tambah pula saya ibu tunggal. Sekali sekala ada orang datang bagi bantuan, tapi kami ada keluarga.

“Ada kerajaan datang bantu kami bagi makan dari pagi sampai malam? Kalau ada, kami terima untuk tutup aktiviti ekonomi. Tapi kalau tidak ada, buka sahaja. Bagi kami cari rezeki,” luahnya dengan nada risau di sini, pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, melihat kepada trend peningkatan kes yang mendadak di Selangor, pihaknya akan mempertimbangkan kewajaran melaksanakan PKP Bersasar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, turut meluahkan rasa sama, Mohd Yusop, 58, yang juga peniaga di kompleks itu berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang seimbang tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

Mohd Yusop, Peniaga Pasar

Mohd Yusop, Peniaga Pasar

“Kalau aktiviti ekonomi tidak boleh beroperasi, kami yang sakit. Bukan hanya berdepan dengan penyakit COVID-19, tetapi kami pula yang tertekan.

“Jadi kami serah kepada kebijaksanaan kerajaan untuk atasi masalah ini. Penyakit itu memang ada, tetapi kalau tutup ekonomi, kami yang hancur, rakyat yang susah,” katanya.

Sementara itu, bekas pekerja kilang, Ramlan Alias, 53, memberitahu, pelaksanaan PKP yang menutup aktiviti ekonomi akan menjejaskan banyak pihak.

Ramlan Alisa, Bekas pekerja kilang

Ramlan Alisa, Bekas pekerja kilang

“PKP 1 pada Mac lalu menyebabkan saya hilang pekerjaan selepas kilang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi.

“Jadi, jika masalah ini berlaku lagi, apa nasib peniaga. Jika mereka dibenarkan berniaga, sekurang-kurangnya ada pendapatan walaupun sedikit,” jelasnya.-AA