Pengarah dan pelakon, Pierre Andre, 39, mengakui dirinya berasa sangat tenang tanpa telefon bimbit, termasuk akaun media sosial yang kini dianggap ‘keperluan utama’ setiap orang.
Pierre, atau nama sebenarnya Muhammad Pierre Andre Nazarul Andre, berkata segala urusan kerja
dan keluarga disalurkan melalui isterinya, Siti Nur Hidayah Hashim, yang bertindak sebagai pengurus.
“Saya sudah lama tidak memiliki telefon bimbit sendiri kerana berasa lebih tenang dan kurang tekanan.
Begitu juga, saya tidak mempunyai sebarang akaun media sosial.
“Memang sudah lama saya tidak mempunyai telefon. Dahulu, saya pernah merajuk dan tidak pulang ke rumah, dan terpaksa menggunakan telefon awam di tepi jalan untuk menghubungi keluarga,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Pierre, yang ditemui pada majlis tayangan trailer dan OST filem Jangan Pandang Belakang 2 baru-baru ini, dia sangat mengutamakan ketenangan diri tanpa penggunaan telefon.
“Kalau saya ingin mengikuti isu-isu semasa, biasanya saya melihat melalui telefon isteri sahaja. Saya masih mengikuti perkembangan terkini, tetapi tidak melibatkan diri di media sosial.
“Saya lebih suka merendah diri kerana pengurus saya adalah isteri sendiri. Ini memudahkan pengurusan kerja, jadi hubungi sahaja dia untuk mencari atau mendapatkan saya,” katanya.
Mengulas mengenai ‘penyepian’ selama 10 tahun daripada radar industri hiburan, Pierre berkata dia kini sudah terbiasa menjalani kehidupan seperti orang biasa yang bebas ke mana-mana tanpa dikenali ramai.
“Sekarang saya banyak memberi tumpuan kepada perniagaan pakaian yang diusahakan. Dahulu, saya hanya tahu mengenai filem, tetapi sekarang saya sudah mengenali kain kerana saya dan isteri mempunyai perniagaan menjual pakaian.
“Selain itu, saya juga mempunyai saluran YouTube sendiri. Jadi, itulah yang saya lakukan sepanjang 10 tahun ini, termasuk memberi fokus kepada membesarkan dua anak,” katanya.
Pierre mendirikan rumah tangga dengan Siti Nur Hidayah pada Jun 2013 dan mereka mempunyai dua anak iaitu Aishah Andre, 8, dan Zehra Andre, 2.
BACA: Doktor beri amaran berhenti minum kopi jenis ni ada bahan terlarang