PH perlu memimpin gabungan besar pembangkang – Khalid

PH perlu memimpin gabungan besar pembangkang – Khalid

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan kenyataan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) bertarikh 20 Disember 2020 yang menyatakan komitmennya untuk memperkukuh Pakatan Harapan dan meningkatkan kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang. Bagi AMANAH ini merupakan satu-satunya jalan ke arah menumpaskan budaya ‘politik khianat’ yang melanda negara sejak tindakan langkah Sheraton pada 24 Feb 2020.

Seluruh rakyat Malaysia dapat melihat bahawa politik khianat ini telah menghasilkan sebuah kerajaan lemah yang bagaikan telur di hujung tanduk. Ia memberikan implikasi negatif terhadap suasana politik dan ekonomi negara. Kerajaan yang dihasilkan lebih mementingkan persoalan survivalnya lebih dari persoalan kebajikan dan kehidupan rakyat jelata.

Semua memahami bahawa pembangkang adalah terdiri dari beberapa parti yang mempunyai asas perjuangan yang berbeza, namun komitmen untuk berdiri teguh berpegang pada mandat rakyat dan menolak ‘politik khianat’ adalah sangat bernilai dan wajar dihargai. Kebersamaan ini terbukti dengan 108 Ahli Parlimen pembangkang dengan satu suara, bersama menolak Belajawan 2021 semasa bacaan ketiga pada 15hb Disember 2020.

AMANAH beranggapan jumlah 108 ini adalah asas yang kukuh untuk mewujudkan saff pembangkang yang mantap dan berwibawa. Adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan sebagai gabungan terbesar di antara pembangkang untuk memimpin dan mengendalikan kerjasama sesama pembangkang secara berhemah dan berkesan. Jangan oleh kerana inginkan sokongan dari golongan pembawa budaya politik khianat atau yang kini bersekongkol dengan mereka, maka kita berbalah dan berpecah sesama kita.

Adalah amat penting untuk semua memahami bahawa sokongan dari golongan pembawa atau pendokong politik khianat punya percaturan politik yang licik dengan tujuan akhirnya memecahbelahkan pembangkang. Oleh itu, segala urusan dengan mereka wajar dihentikan segera. Amat mustahak untuk 108 Ahli Parlimen pembangkang memperkukuhkan kesepaduan setiakawan kita dengan mempertegaskan kembali asas dan matlamat kita bersama dahulu, sekaligus menggamit sokongan rakyat kembali. Ia akan menjadi kerjasama PH Plus ini sebuah pasukan kuat memacu poltik masa depan negara.

Politik Gabungan atau ‘Coalition Politics’ sememangnya sukar dan memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran. Setiap anggota gabungan perlu saling hormat menghormati satu sama lain dan keputusan bersifat konsensus perlu diusahakan dengan jujur dan ikhlas. Kepentingan setiap parti perlu dipertimbangkan dengan adil, dalam ‘consensus building’ yang menjadi asas tindakan dan polisi.

AMANAH menyeru pembangkang untuk bersama dalam usaha membina satu ‘Grand Coalition’ antara semua pembangkang yang berasaskan mandat lalu ia itu penolakan terhadap kleptokrasi, perkauman, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Pada masa sama AMANAH turut komitted kepada nilai-nilai Amanah, Ketelusan, Pertanggungjawaban serta Keadilan yang selaras dengan tuntutan Islam.

Untuk PRU 15 yang bakal diadakan, biarlah golongan politik khianat ini terpaksa berhadapan dengan ‘Grand Coalition’ pimpinan PH yang jitu dan mantap, yang berpaksikan politik nilai, jujur, beramanah serta bebas rasuah and bebas khianat.

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi AMANAH
Pada 21 Disember 2020

Sumber :

COMMENTS