PH Perak tiada masalah sambut cadangan Zahid demi kerajaan lebih stabil

PH Perak tiada masalah sambut cadangan Zahid demi kerajaan lebih stabil

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh demi kepentingan rakyat.

Dalam hantaran Whatsapp yang dikongsi kepada media, mengulas kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pagi tadi, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, DAP bersedia bekerja dengan mana-mana parti yang akan membentuk kerajaan yang kuat dan stabil terdiri daripada pelbagai kaum.

“Saya juga terbuka untuk sebarang perbincangan yang konstruktif dan kami sudah bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador dalam mesej ringkasnya berkata, parti itu juga bersedia.

“Ya kami sudah bersedia untuk manfaat rakyat,” katanya.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi pula berkata, partinya tidak akan menyertai Umno dalam kerajaan secara bersendirian.

Bagaimanapun katanya, Amanah dan PH bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti, termasuk Umno bagi membentuk kerajaan yang kuat dan stabil di Perak.

“Keutamaan kami adalah kepentingan rakyat yang ketika ini cukup menderita susulan pandemik Covid-19,” katanya.

Pagi tadi, Ahmad Zahid berkata, Umno tidak menolak kemungkinan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk PH bagi membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa dibuat susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Hamzah Zainudin berhubung isu pembentukan kerajaan baru Perak sebelum ini.

Takiyuddin sebelum ini berkata, parti itu tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baru Perak susulan peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar setelah beliau tewas dalam usul percaya terhadapnya Jumaat lalu.

Sementara itu Hamzah pula mendedahkan bahawa 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno menolak Faizal dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) sebelum mengambil tindakan susulan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/06/ph-perak-sedia-kerjasama-dengan-umno-perkukuh-kerajaan-negeri/

COMMENTS