PH gesa bank tak kenakan faedah sepanjang moratorium

PH gesa bank tak kenakan faedah sepanjang moratorium

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan meneliti kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan isu moratorium pembayaran balik pinjaman bank semalam, serta kegusaran rakyat terhadap kenyataan tersebut.

Pada ketika ekonomi negara cukup terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan, dan semakin hari semakin banyak laporan berita mengenai hotel dan syarikat yang ditutup serta pekerja yang dipotong gaji dan hilang kerja, seharusnya sektor perbankan lebih prihatin tentang nasib rakyat.

Pendirian BNM dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) bahawa bank-bank boleh mengenakan kadar faedah bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang telah dikenakan moratorium memberikan gambaran sektor perbankan tidak mengendahkan nasib rakyat yang semakin terhimpit hari ini.

Pada ketika negara berhadapan penularan wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi mencabar seperti hari ini, sektor perbankan sepatutnya turut sama berkorban demi kepentingan negara dan rakyat. Penyelesaian bersifat ‘separuh jalan’ seperti pengenaan kadar faedah ketika moratorium pembayaran balik pinjaman dilaksana hanya mengukuhkan persepsi bahawa sektor perbankan tidak peduli nasib rakyat yang semakin tertekan.

Majlis Setiausaha kesal di atas ketiadaan penyelarasan di antara ucapan YAB Perdana Menteri pada 27 Mac dengan kenyataan BNM semalam amat mengelirukan dan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

Majlis Setiausaha menggesa Menteri Kewangan segera mengarahkan BNM dan ABM mempertimbang semula pendirian berkenaan pengenaan kadar faedah ini, serta menuntut agar bank-bank tidak mengenakan sebarang kadar faedah selama moratorium berkuatkuasa.

Kami yakin bahawa dasar sebegini, walaupun menjejas kadar keuntungan bank dalam jangka masa pendek, tidak akan menyebabkan sektor bank kerugian dalam jangka masa panjang.

YB DS Saifuddin Nasution
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Khalid Samad
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Liew Chin Tong
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

COMMENTS