PH beri jaminan akan segera kuat kuasa akta lompat parti di negerinya

Oleh INFORAKYAT

PH beri jaminan akan segera kuat kuasa akta lompat parti di negerinya. Tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) akan meminda perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing secepat mungkin, sebaik saja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 diluluskan.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, langkah itu bagi membolehkan RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dikuatkuasakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua negeri lain di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PAS untuk turut mengikut jejak langkah itu sekali gus memastikan tiada lagi krisis politik akibat lompat parti berlaku di mana-mana DUN.

“PH memberi jaminan kita akan meminta semua kerajaan negeri PH untuk meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk diseragamkan dengan Perlembagaan Persekutuan, supaya tindakan lompat parti diharamkan dalam negeri berkenaan.

PH beri jaminan akan segera kuat kuasa akta lompat parti di negerinya
“Saya harap ini boleh diamalkan oleh negeri-negeri di bawah BN dan PN, termasuk di Sarawak,” katanya ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP menggesa setiap negeri menggunakan undang-undang antilompat parti yang sama dengan yang digubal dalam RUU itu bagi mengelak kekeliruan.

“Kita tak mahu lihat ada perbezaan, pertindihan dan percanggahan dalam pelaksanaan RUU ini di peringkat negeri kerana ini akan menimbulkan kekeliruan.

“Saya harap ini dapat dipertimbangkan dan kerajaan dapat arah semua Ketua Menteri dan Menteri Besar pinda perlembagaan negeri dalam masa terdekat supaya undang-undang ini dapat dilulus dan dikuatkuasakan di semua negeri sebelum PRU-15,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai permulaan kuat kuasa RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, yang dianggarkan seawal September depan.

“Dalam sesi taklimat yang diberikan menteri, beliau maklumkan pindaan itu diharap boleh dikuatkuasakan pada 1 September atau sekitar tempoh itu.

“Saya harap boleh beri penegasan mengenai perkara ini kerana RUU ini mesti dikuatkuasakan sebelum PRU15 diadakan, atau individu tertentu akan terus melompat parti selepas pilihan raya.

“Harap menteri boleh beri jaminan kerana ini penting. Tolong kuat kuasakan sebelum PRU15. Kalau tidak, jangan adakan pilihan raya,” katanya.

BACA:

Lelaki penggal dan bawa kepala isteri ke balai polis, dakwa wanita itu main kayu tiga

Siar berita kematian Tan Sri Khalid Ibrahim, ini respon lidah rasmi milik Pas