Pesta ganja terima lebih 3,000 pengunjung

Oleh INFORAKYAT

Pesta ganja terima lebih 3,000 pengunjung. Lebih 3,000 orang menyertai pesta ganja berikutan keputusan kerajaan Thailand melonggarkan undang-undang berkaitan dadah itu.

Pesta anjuran kumpulan advokasi ganja, Highland Network, yang berlangsung di White Sands Beach di timur Bangkok di sini, menyaksikan pelbagai barangan dijual termasuk baju T, peralatan menghisap ganja serta makanan berasaskan ganja.

Pemilik dispensari ganja Nature Masters, Victor Zheng, berkata acara seumpamanya sudah lama dinantikan ramai orang.

Beliau turut memberi nasihat kepada pelanggan berhubung produknya termasuk mengenai penggunaan tanah untuk menanam ganja serta cara memakannya.

“Anda dapat lihat orang ramai datang ke sini dan mereka amat gembira.

Pesta ganja terima lebih 3,000 pengunjung

“Bukan saja kami, pelanggan sudah lama menantikan acara sebegini,” katanya.

Kepulan asap dengan bau yang kuat dapat dilihat daripada penggunaan ganja di pesta berkenaan.

Thailand sebelum ini terkenal dengan undang-undang tegas berkaitan dadah, namun sejak beberapa tahun lalu, kerajaan mula melonggarkan undang-undang terbabit.

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan dadah itu dikeluarkan daripada senarai narkotik berbahaya dan membenarkan penanaman serta pemilikannya, malah penduduk turut diberi anak pokok ganja percuma untuk ditanam di rumah.

Ketika Kanada dan Uruguay membenarkan penggunaan dadah itu sepenuhnya, Thailand berharap dapat memanfaatkan pasaran global yang semakin meningkat dengan nilai berbilion dolar bagi produk ganja yang sah terutama sebagai makanan serta perubatan.

Pada 2018, Thailand membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, dilihat sebagai langkah besar di Asia Tenggara di mana mana undang-undang antidadah dikuatkuasakan dengan ketat.

Penganalisis mengunjurkan, dalam tempoh sedekad lagi pasaran ganja yang sah mungkin bernilai antara AS$50 billion (RM221 bilion) hingga AS$200 billion (RM884 bilion).

Memandangkan lebih banyak negara melonggarkan undang-undang berkaitan penggunaan ganja bagi perubatan atau peribadi, usahawan Thailand mengorak langkah awal menguasai pasaran ganja susulan liberalisasi penggunaan bahan mengkhayalkan itu. – AFP

BACA:

Pasangan Malaysia kahwin di Siam meningkat lebih sekali ganda

Ternakan paling besar dan mahal bakal jadi korban raya haji tahun ini

Video ‘pre-wedding’ Sofyank dah level lain ni