Pesakit klinik swasta merosot 70%, rakyat pergi hospital dan klinik k’jaan

Pesakit klinik swasta merosot 70%, rakyat pergi hospital dan klinik k’jaan

Hospital dan klinik swasta menyaksikan kemerosotan hampir 70% pesakit kerana bilangan orang yang sakit seolah-olah berkurang susulan pelaksanaan langkah pencegahan wabak, sementara mereka yang memerlukan rawatan lebih gemar ke klinik kerajaan kerana kos yang lebih rendah.

Presiden Persatuan Hospital Persendirian Malaysia Dr Kuljit Singh berkata, dengan lebih ramai orang berada di rumah, kemungkinan dijangkiti selsema biasa atau flu kini lebih rendah.

“Kanak-kanak berada di rumah, begitu juga dengan orang dewasa yang bekerja dari rumah. Kadar jangkitan lebih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal kerana wabak Covid-19.

Kemerosotan bilangan pesakit juga disebabkan oleh penutupan sempadan yang menyaksikan pelancongan perubatan terhenti, kata Kuljit.

Pelancongan perubatan menjana kira-kira RM1.5 bilion hasil pada 2018 daripada 1.2 juta pelancong kesihatan. Ia meningkat 17% dari 2015 ke 2018.

Oleh sebab hospital swasta kini kurang digunakan, Kuljit menggesa Putrajaya membenarkan hospital ini merawat penyakit tidak berjangkit lain.

“Terdapat banyak kes bukan Covid-19 dan bukan rumit yang perlu dirawat. Kerajaan mempunyai struktur fi yang boleh dibincangkan dengan hospital swasta,” katanya.

Kuljit berkata, pesakit boleh dirujukkan dari hospital kerajaan dan fi terlibat dibayar oleh kerajaan.

“Dengan cara ini, senarai panjang pesakit boleh dikurangkan.”

Bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia Ravindran Naidu berkata, klinik swasta terkesan teruk kerana lebih ramai orang kini tidak bekerja, selain berkata, mereka bersedia beratur panjang di klinik kerajaan kerana fi kemasukan dan kos keseluruhan yang lebih rendah.

“Klinik (swasta) menyaksikan kemerosotan antara 70 ke 80% (bilangan pesakit),” katanya.

Ravindran mencadangkan perkongsian swasta-awam dengan kerajaan merawat penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi di klinik swasta.

“Ia (pesakit) boleh disalurkan ke klinik swasta di kawasan luar bandar dan bandar,” katanya.

Aktivis pengguna Jacob George berkata, konsep perkongsian swasta-awam hanya akan berjaya jika hospital swasta bersedia mengurangkan kos pembedahan dan rawatan.

“Harganya terlalu tinggi.”

Jacob, yang merupakan presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam memberitahu FMT bahawa penyertaan sektor swasta akan memberi manfaat kepada pengguna, tetapi harga yang dikenakan terlalu tinggi.

“Jika mereka ingin masuk, maka mereka mesti menurunkan kos sebagai sebahagian daripada tanggungjawab khidmat masyarakat (CSR) semasa pandemik menular,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/22/pesakit-di-hospital-klinik-swasta-merosot-70/

COMMENTS