Pesakit Covid-19 yang tidak dapat respon hospital boleh lapor status diri di MySejahtera

Pesakit Covid-19 yang tidak dapat respon hospital boleh lapor status diri di MySejahtera

Pesakit Covid-19 yang sedang menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kini boleh membuat pelaporan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, aplikasi itu diperkasakan untuk melancarkan pengurusan wabak selain memenuhi keperluan pengguna dalam memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti dengan lebih berkesan, lapor Bernama.

Kenyataannya itu susulan laporan mengenai kelewatan dihadapi pesakit yang disahkan positif Covid-19 tetapi tidak dibawa ke hospital, dan belum menerima arahan apa patut dilakukan seterusnya.

Semalam, FMT melaporkan sebuah keluarga di Petaling Jaya yang mendakwa belum mendapat maklum balas pihak kementerian walaupun telah disahkan positif jangkitan. Hari ini pula, pengguna Facebook bernama Norbani Rezani dari Shah Alam yang dikatakan berada dalam keadaan sama turut merayu bantuan kementerian berkenaan.

FMT cuba menghubungi pihak terbabit dan kementerian untuk pengesahan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, mereka yang disahkan positif Covid-19 boleh menggunakan HelpDesk di halaman utama MySejahtera seterusnya mengikut arahan di ruang G.

Menurutnya, pengguna yang didaftarkan sebagai kes positif di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM juga akan diberi notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Push Notification melalui MySejahtera mulai hari ini.

Susulan itu, mereka akan mendapat nasihat dan pelan susulan penilaian kendiri serta peringatan untuk melakukan penilaian pemantauan gejala pandemik itu di bahagian ‘Perlu dilakukan’ bagi tempoh 10 hari berturut-turut.

“Sekiranya pengguna bergejala, maklumat tersebut akan terus disalurkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pengguna akan dihubungi oleh petugas kesihatan untuk penilaian lanjut,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihati untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera dan menggunakan sepenuhnya semua fungsi dalam aplikasi tersebut.- MK

COMMENTS