Seorang perwakilan Pemuda PAS menafsirkan kejadian lubang benam yang berlaku berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini sebagai tanda bala daripada Allah SWT.
Perwakilan Pemuda PAS Kawasan Machang, Mohd Sharif Mohd Azhari, juga mendakwa kejadian tersebut mungkin berpunca
daripada tindakan Menteri Wilayah Persekutuan serta pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.
Memetik ayat daripada surah al-Ankabut, beliau berkata salah satu bala Allah ialah menenggelamkan manusia ke dalam bumi.
“Terjadi di Kuala Lumpur, bandar utama negara Malaysia, seorang wanita (warga) India yang hilang dan tidak ditemui,
hanya seliparnya yang dijumpai. Sehingga kini masih belum dijumpai, Allah sebut itu adalah bala Allah.
“Walaupun kita sedih sebagai sesama manusia, kita kena rasa sedih dengan apa yang berlaku kepada wanita India tersebut.
“Cuma kita kena faham ini adalah bala Allah, dan ia juga mungkin berpunca daripada apa yang dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan terhadap tanah-tanah di Kuala Lumpur,” katanya ketika membahaskan usul dalam Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.
Usul tersebut berbunyi, “Pemuda PAS mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan DAP terhadap urusan umat Islam.”
Namun, Mohd Sharif tidak menyebut secara khusus menteri mana yang dimaksudkannya, tetapi KLCC dibina ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.
Beliau juga mendakwa memperoleh maklumat ini daripada dokumentari pembinaan KLCC yang diterbitkan oleh National Geographic.
“Itu saya tengok dalam National Geographic semasa mereka buat KLCC. Dalam dokumentari itu, mereka tunjuk bahawa pada peringkat awal pembinaan, ada satu bahagian yang memang tidak sepatutnya KLCC dibina di situ.
“Sebabnya tanah itu adalah tanah tambak, dan kita tahu di bawah Kuala Lumpur ini ialah tempat pertemuan dua sungai, kuala ini tempat pertembungan dua sungai menjadi satu. Dan di situ kita tahu tanahnya berlumpur,” jelasnya.
Tambahnya lagi, keadaan itu dilihat sebagai tanda bala, lebih-lebih lagi jika kejahatan DAP tidak dibendung.
“DAP ini jahat, buat kerja jahat, dan kita biarkan. Kita kena sebut perkara ini,” katanya sambil menyokong penuh usul yang dibentangkan oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed.
BACA: Demi kebahagian anak, lelaki tergamak lacurkan isteri hanya untuk beli kek hari jadi anak