Peruntukan untuk sekolah tahfiz turun dalam belanjawan 2021 – Khalid

Peruntukan untuk sekolah tahfiz turun dalam belanjawan 2021 – Khalid

Belanjawan 2021 dianggap sebagai ‘belanjawan pilihan raya’ yang lebih menumpu kepada usaha mencari sokongan masyarakat Melayu Islam sehingga mengenepikan kebajikan untuk masyarakat bukan Islam.

Biarpun begitu kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, peruntukan untuk sekolah-sekolah agama dan tahfiz jauh lebih rendah di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dengan penglibatan Pas sebagai kerajaan.

Beliau berkata, PN yang berbangga dengan gelaran kerajaan Melayu Islam, tidak mampu menandingi belanjawan yang diperuntukan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

“Ketika kerajaan berkata mahu membantu Bumiputera, Melayu dan Islam, peruntukan untuk sekolah agama dan tahfiz jauh lebih rendah dalam Belanjawan ini berbanding peruntukan ketika PH yang Menteri Kewangannya dituduh dengan pelbagai kata nista kerana dia adalah pemimpin DAP.

“Semasa Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, RM100 juta diperuntukan. Tetapi PN yang mempunyai Pas sebagai pemerintah, hanya memperuntukkan RM29 juta sahaja,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Turut serta adalah Naib Presiden AMANAH, Hasanudin Yunus dan Mohamed Hanipa Maidin.

Sementara itu Khalid berkata, dengan jumlah belanjawan sebesar RM322.5 bilion, rakyat Malaysia berharap peruntukan dapat diagihkan secara adil tanpa mengira bangsa dan agama.

Jelasnya, meskipun bantuan bumiputera kebiasaannya melebihi bantuan pihak lain, namun masalah dan kesukaran masyarakat bukan Islam sewajarnya diambil kira oleh kerana semua pihak pastinya sedang terjejas.

“AMANAH amat setuju kerajaan peruntukan sejumlah wang tertentu bagi membantu orang perseorangan atau mana-mana institusi Bumiputera Islam.

“Namun belanjawan ini dilihat belanjawan pilihan raya yang mensasarkan undi dan sokongan Melayu dengan peruntukan besar, sambil mengabaikan hak dan keperluan bukan Islam

“Sedangkan mereka juga rakyat Malaysia dan pembayar cukai kepada kerajaan. AMANAH anggap kaedah ini tak bertanggungjawab dan bersifat pecah belah,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, prinsip keadilan dan kasih sayang merupakan dua tunjang penting dalam Islam yang sewajarnya mendasari apa jua tindakan dalam mengagihkan bantuan.

Malangnya kata Khalid, Perikatan Nasional yang berbangga dengan gelaran kerajaan Melayu Islam gagal menghayati prinsip keadilan terhadap semua melalui belanjawan yang diperuntukkan

Menurutnya, sikap kerajaan bukan sahaja akan menghasilkan kemarahan dan kebencian antara kaum, ianya akan turut mencemarkan imej Islam kerana ketidakadilan dilkaukan atas nama Melayu Islam.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/belanjawan-melayu-islam-tetapi-untuk-tahfiz-menurun/

COMMENTS