Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) digantung berkuat kuasa hari ini untuk meningkatkan tatakelola dan tadbir urus pertubuhan tersebut.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin, menjelaskan bahawa beliau mengeluarkan arahan itu
sebagai Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109),
berikutan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi dan fungsi NAFAS.
“Dengan perintah yang berkuat kuasa hari ini, NAFAS mempunyai hak untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu,
dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah ini, selaras dengan Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang.
“Keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dirayu atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah,” katanya pada sidang media Reformasi Tatakelola NAFAS yang turut dihadiri oleh Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar, di sini hari ini.
Amir menyatakan bahawa sepanjang tempoh penggantungan, NAFAS akan diurus dan ditadbir oleh pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh beliau untuk menguruskan hal ehwal pertubuhan tersebut.
Namun, beliau menegaskan bahawa NAFAS akan terus beroperasi seperti biasa, dengan kakitangan dan pegawai sedia ada meneruskan urusan di bawah arahan pentadbir.
Pada masa yang sama, beliau akan terus memantau tindakan-tindakan yang dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pemulihan semula pertubuhan itu, selaras dengan objektif memperkasakan tatakelola dan tadbir urus yang baik untuk kepentingan para peladang.
Sementara itu, Mahfuz mengungkapkan bahawa Mohamad telah mengeluarkan arahan untuk memperbaiki tatakelola dan tadbir urus NAFAS selama sembilan bulan, bermula dari 7 Februari hingga semalam.
“Sepanjang tempoh perintah ini, NAFAS telah diarahkan untuk menambah baik sistem tatakelola dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Pendaftar.
“Namun, dalam tempoh moratorium ini, telah timbul isu-isu yang membawa kepada konflik dan ketidakharmonian dalaman antara Jemaah Pengarah NAFAS dan Pengurusan Eksekutif NAFAS,” katanya.
Beliau menambah bahawa isu tersebut telah menjejaskan operasi dan matlamat NAFAS sehingga kepentingan umum para peladang juga terjejas.
Ditanya mengenai siasatan berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi, Amir menjelaskan bahawa pihaknya telah menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami tiada maklumat. SPRM belum mengeluarkan sebarang laporan kepada pendaftar. Pendaftar akan melakukan penyiasatan dalaman di bawah Seksyen 20 (1), di mana pendaftar mempunyai kuasa untuk menjalankan audit dan penyiasatan dalaman mengikut Seksyen 19,” ujarnya.
BACA: ‘Wakil rakyat kena kreatif cari sumber kewangan’ Adun Duyong sekolahkan wakil rakyat PN