Pertimbang tarik balik sokongan kepada PN, itu hak Umno, ujar Nik Amar

Pertimbang tarik balik sokongan kepada PN, itu hak Umno, ujar Nik Amar

Umno dan Bersatu perlu duduk semeja dan berbincang sebagai keluarga dalam menyelesaikan sebarang isu melibatkan kedua-dua parti tersebut.

Saranan itu diutarakan Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah ketika diminta mengulas situasi semasa politik negara khususnya selepas Umno memberi kata putus untuk meletakkan syarat baru bagi meneruskan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa ada isu antara Umno dan Bersatu, saya nampak begitulah. Jadi kita harap isu itu dapat diselesaikan.

“Kita tak tahu apa isu sebenarnya, kita sendiri tidak jelas apa isunya. Sebab itu saya rasa lebih baik duduk sekali dan berbincang,” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Terdahulu Umno dilaporkan akan meletakkan syarat baru sebagai penanda aras sama ada akan terus menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin merangkap pengerusi Bersatu.

Sementara itu Mohd Amar berkata, kedua-dua pihak perlu mengelak daripada membuat kenyataan akhbar yang boleh mengelirukan situasi.

“Jangan keluarkan kenyataan-kenyataan akhbar, contohnya presiden Umno duduk bersama perdana menteri (Muhyiddin Yassin) berbincang apa benda yang tidak puas hati dan kita selesaikan sebagai keluarga. Saya rasa itu lebih baik.

“Sebab apabila buat kenyataan, ia menambahkan kekeliruan. Sebab orang tak tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Ditanya mengenai pendirian baru Umno itu katanya, itu adalah hak Umno sebagai sebuah parti.

“Itu hak dia (Umno) sebagai sebuah parti, kita tak boleh nak komen. Kita sendiri tak berapa pasti apa sebenarnya yang diperbincangkan Umno dalam mesyuarat biro politik mereka.

“Kita harap apa-apa keputusan yang dibuat pun, tidak menyebabkan terjejasnya kerjasama politik yang sedia ada. Sama ada melalui Muafakat Nasional ataupun PN,” tambah Mohd Amar.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/546706

COMMENTS