Keterujaan sepasang suami isteri untuk menunaikan solat berjemaah di masjid sambil mendidik anak-anak
supaya sentiasa dekat dengan rumah Allah berdepan dengan pengalaman pahit yang sukar ditelan.
Menurut cerita si ibu, mereka mula menyimpan azam untuk membawa anak menunaikan solat di masjid
sekurang-kurangnya dua kali seminggu pada waktu Isyak.
Namun, semangat itu hampir pudar selepas anak-anak kecil yang dibawa ditegur oleh anggota kariah masjid yang tidak dinyatakan lokasi itu.
“Buat pertama kali, saya pulang dari masjid dengan rasa sedih dan terhina. Mungkin saya salah pilih tempat atau memang tidak semua masjid dapat menerima kehadiran anak-anak kecil.
“Pada malam kedua saya bersolat di masjid itu, selepas bersalaman dengan makcik-makcik di sebelah… datang seorang makcik menegur.”
“Dia suruh beritahu anak-anak jangan bising dekat masjid. Kata dia, malam sebelum itu pun mereka bising sangat,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.
Ujar wanita itu, teguran daripada makcik tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam hatinya, terutama apabila anaknya yang berusia dua tahun dianggap mengganggu.
Namun, wanita itu cuba bertenang dengan meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk membaca al-Quran.
Pada ketika itu, dia membiarkan anak-anak bermain dan berlari di ruang solat lelaki di bawah pemantauan suaminya.
Tanpa diduga, dia sekali lagi tersentak apabila mendengar suara keras seorang pakcik menegur perbuatan anak-anaknya yang bermain di dalam ruang solat masjid.
“Nak bawa anak ke masjid ni boleh, tapi janganlah biarkan anak-anak berlari satu masjid.
Anak-anak ni tak salah sebab mereka tidak faham, tetapi yang salahnya mak bapa yang membiarkan anak tidak ditegur.
“Saya tersentak sekejap, tapi saya teruskan membaca al-Quran. Tiba-tiba anak datang dalam keadaan sebak menahan tangis. Kemudian, air matanya bercucuran.
“Apabila saya tanya kenapa, dia tidak jawab. Tapi saya kasihan pada anak ini kerana hatinya lembut, mudah terasa jika orang meninggikan suara,” katanya menceritakan semula situasi tersebut.
Memandangkan anaknya yang masih kecil itu sedang dalam proses belajar tentang adab ketika berada di masjid, dia akur dengan apa yang berlaku.
“Saya pun pujuk dan ambil kesempatan untuk fahamkan dia bahawa masjid ini adalah tempat orang solat… jadi kita tak boleh bising.
“Tapi paling sedih apabila dia bertanya soalan yang sangat innocent sampai mata saya pun berair. Anak tanya, ‘Mama, masjid ni tempat orang tua je ke?’
“Saya beritahu bahawa masjid ini untuk semua, tapi malam ni kita salah pilih masjid. Nanti kita cari masjid yang lebih baik,” katanya.
Tambah wanita itu, dia tidak mempunyai masalah jika ahli kariah menegur tentang perilaku anak-anaknya, tetapi biarlah ia dilakukan dengan cara yang lebih beradab dan tidak memalukan.
“Mama, masjid ni tempat orang tua je ke?” Pertanyaan anak buat wanita ini hampir menangis
Jelasnya dalam hantaran tersebut, dia memilih untuk tidak lagi membawa anak-anak ke masjid berkenaan, sebaliknya cuba mencari lokasi lain yang mungkin lebih mesra untuk kanak-kanak.
Perkongsian wanita itu ternyata meraih pelbagai pandangan netizen tentang membawa anak ke rumah ibadat.
“Niat sis sudah bagus, cuma jika nak bawa anak kecil, bekalkan sekali mainan. Bukan semua masjid menyediakan mainan. Kalau ada yang sediakan, itu bagus.
“Pendapat saya, sis tunggu anak umur lima atau enam tahun baru bawa. Masa tu mereka sudah faham. Bukan tak bagus bawa awal-awal, sangat bagus, tapi jika hal macam ni berulang lagi, kasihan pada anak-anak nanti,” komen netizen.
Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah menjelaskan tentang membawa anak-anak untuk memeriahkan serta mengimarahkan masjid.
“Mama, masjid ni tempat orang tua je ke?” Pertanyaan anak buat wanita ini hampir menangis
Katanya, membawa kanak-kanak ke masjid adalah selaras dengan ruh syarak.
“Namun, adalah saranan bagi ibu bapa agar memainkan peranan dengan memerhatikan tingkah laku anak-anak, mendidik, dan mengingatkan mereka tentang tingginya kehormatan dan kedudukan masjid dalam Islam,” katanya.
Dalam masa yang sama, Zulkifli juga berharap pihak masjid dapat memainkan peranan penting sebagai institusi penyatuan ummah, tempat penyebaran ilmu, serta medan zikrullah.
“Kami juga mengesyorkan agar pihak masjid mengawasi kanak-kanak dengan tatasusila dan akhlak yang baik, seperti tidak menengking, tidak memarahi, tidak mengasari, serta tidak memukul kanak-kanak.
“Sebaliknya, tunjukkanlah akhlak yang baik dan berikan tunjuk ajar agar terjalin kasih sayang antara ibu bapa, pihak masjid, serta kanak-kanak itu sendiri,” katanya.
Baca Lagi: 3 bulan rahsiakan pertunangan, sah Eyka Farhana tunangan kepada Akhyar Rashid