Sebagai seorang yang beragama Islam, kita tidak terlepas daripada menunaikan kewajipan zakat, yang merupakan Rukun Islam ke-4.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 43, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”
Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya zakat sehingga ia difirmankan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Oleh itu, wujudnya badan atau organisasi yang bertanggungjawab dalam mengelola kutipan zakat.
Namun, menguruskan kewangan yang bernilai jutaan Ringgit ini bukanlah tugas yang mudah bagi individu yang diamanahkan.
Pelbagai cabaran perlu ditempuh, termasuk dugaan hawa nafsu yang menguji tahap keimanan seseorang.
Tohmahan dan andaian negatif dari segelintir orang yang mendakwa bahawa duit zakat yang dikutip tidak tahu ke mana arah agihannya juga menjadi cabaran.
Contohnya, terdapat seorang individu yang mempersoalkan ke mana perginya duit zakat yang dikumpulkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Namun, individu tersebut terdiam apabila ada orang yang tampil untuk memperjelaskan pengagihan duit yang dikutip oleh MAINS.
Ramai yang beranggapan bahawa sebahagian duit zakat yang dikutip oleh organisasi ini ‘lesap’ atau masuk ke dalam poket pengelola. Namun, hakikatnya, wang ini diagihkan kepada golongan tertentu untuk manfaat penerima. Setiap penerima zakat telah diteliti oleh organisasi pengelola untuk memastikan kelayakan mereka, khususnya berkaitan latar belakang penerima.
“Jadi, kenapa perlu takut jika setiap kerja yang diamanahkan dilakukan berlandaskan peraturan yang betul?”
Lebih RM66 Juta Duit Zakat Berjaya Dikutip MAINS
Individu tersebut menjelaskan bahawa sebanyak RM66,899,868.32 wang zakat berjaya dikumpulkan, manakala nilai agihan zakat pula berjumlah RM98,136,329.07. Jumlah ini adalah hasil kutipan sepanjang tempoh Januari 2024 hingga Jun 2024.
Berdasarkan statistik, kutipan zakat terdiri daripada zakat pendapatan yang menjadi penyumbang terbesar, diikuti harta, wang simpanan, perniagaan, dan lain-lain.
Wang ini kemudian disalurkan kepada tujuh golongan seperti berikut:
-Sebanyak RM44,253,293.27 zakat telah diagihkan kepada golongan Fisabilillah, iaitu individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti untuk menegakkan, mempertahankan, dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
-Diikuti golongan Miskin bernilai RM22,274,450.49, manakala golongan Fakir menerima zakat sebanyak RM18,754,996.31.
-Golongan keempat adalah Amil, iaitu mereka yang dilantik untuk menguruskan hal ehwal zakat, yang menerima RM5,327,467.71.
-Muallaf, individu yang memeluk agama Islam, menerima RM5,699,241.88.
-Golongan Gharimin, iaitu mereka yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas, menerima RM1,803,319.41.
-Terakhir, Ibnu Sabil, orang Islam yang kehabisan duit semasa dalam perjalanan yang bermanfaat, berjumlah RM23,560.00.
Sementara itu, kutipan wakaf mencapai RM1,680,053.13 dari potongan gaji, kaunter, perbankan dalam talian, dan tabung. Statistik MAINS turut memaparkan jumlah keseluruhan agihan wakaf ini disalurkan kepada tiga sektor, iaitu pendidikan (RM164,130.00), kesihatan (RM23,500.00), dan sosioekonomi sebanyak RM203,556.00.