Perlu ada solusi segera jika SPM/STPM ditangguhkan

Perlu ada solusi segera jika SPM/STPM ditangguhkan

Menyokong Gesaan Penangguhan SPM/STPM, Kerajaan Perlu Segera Mencari Solusi

Seperti yang dinyatakan Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju dengan cadangan untuk menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke satu tarikh lain berikutan penutupan sekolah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya juga mempunyai pandangan yang sama.

Cadangan yang dibuat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) ini amat baik memandangkan kurikulum sekolah tidak dapat dijalankan seperti yang dijadualkan.

Menteri Pendidikan dan Kementerian Pengajian tinggi seharusnya mencari solusi terhadap permasalahan ini dengan kadar segera kerana para pelajar sudah hampir sebulan terlepas pelajaran dan bukannya mengadakan pertandingan Tik Tok.

Seperti yang kita sedia maklum PKP dilanjutkan lagi sehingga 28 April ini dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan ianya akan dilanjutkan memandangkan kita berdepan dengan wabak pandemik yang amat dasyat.

Saya amat menghargai keprihatinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelajar-pelajar di pedalaman yang amat sukar mendapat capaian akses internet.

Seperti di kawasan saya di Pensiangan internet amat sukar untuk diakses dan kebanyakan penduduk di kawasan pedalaman tidak mempunyai telefon pintar dan ia menyukarkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran atas talian.

Seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada golongan pendidik yang sanggup mengambil inisiatif sendiri untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian walaupun ia terbatas di beberapa tempat yang tidak mempunyai capaian internet.

Pihak kerajaan terutama di Kementerian terbabit sepatutnya tidak perlu membuang masa yang lama untuk menyelesaikan permasalahan ini kerana jika Kementerian sudah mendapat solusi, perkara seterusnya yang mereka perlu buat adalah mengumumkan rancangan mereka serta memberikan penerangan bagaimana ia boleh dilaksana. Sudah tentu ia akan memakan lebih masa.

Maka peperiksaan SPM dan STPM perlu ditangguhkan ke satu tarikh yang lain kerana kita tidak ingin membebankan para pelajar serta mengelak para pelajar dari rasa tertekan kerana perlu mengejar pelajaran yang telah ketinggalan dengan masa yang singkat sebelum mengambil peperiksaan SPM dan STPM.

Raymond Bin Ahuar
Ketua AMK Sabah
Ahli MPP Keadilan