Perkenalkan Subsidi Gaji RM1,200 Selama 6 bulan

Perkenalkan Subsidi Gaji RM1,200 Selama 6 bulan

Umum mengetahui bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah antara tunggak utama ekonomi negara dengan sumbangan sehingga 38.3% kepada Keluaran Negara Kasar (KDNK). Entiti-entiti ekonomi yang majoritinya terdiri daripada perniagaan mikro (76%) ini juga menjadi punca pendapatan kepada lebih 5 juta individu untuk menanggung perbelanjaan harian dan menyajikan makanan di atas meja setiap keluarga.

Walaubagaimanapun, beberapa hari setelah pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN tempohari, Kerajaan mengakui bahawa pakej tersebut gagal membantu PKS dan terpaksa mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas Kabinet untuk membincangkan insentif-insentif khas kepada pengusaha perniagaan. Kegagalan itu nyata mengecewakan apatah lagi apabila Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) sendiri telah menjangkakan seramai 2.4 juta pekerja bakal menganggur pasca COVID19.

MIER juga menyatakan dengan tempoh PKP selama 4 minggu sehingga 15 April ini, Malaysia akan mengalami kemerosotan ekonomi sebanyak 2.9% dengan perbelanjaan domestik menurun sebanyak RM95 billion. Dalam keadaan ini, selain kusut menggali simpanan tunai untuk menanggung kos overhed tanpa sebarang pendapatan sepanjang tempoh PKP, PKS juga harus mencari bekalan dana yang mencukupi untuk mengharungi kelembapan ekonomi sepanjang 9 hingga 12 bulan yang mendatang.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini, kebanyakan PKS bersaiz mikro dan kecil sedang bermasalah untuk membayar gaji penuh pekerja sepanjang tempoh PKP. Saban hari, jumlah PKS yang menutup syarikat, memberhentikan pekerja atau memberikan cuti tanpa gaji semakin meningkat.

Sehingga penulisan ini ditulis, majikan hanya diberikan dua pilihan bantuan; Program Subsidi Upah (untuk majikan yang masih membayar gaji penuh) dan Program Pengekalan Pekerja (untuk pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji). Kedua-dua pilihan hanya melibatkan bantuan sebanyak RM600 untuk tempoh tiga dan enam bulan.

Jumlah bantuan RM600 tersebut bukan sahaja tidak membantu mengurangkan bebanan kos overhed PKS secara efektif, malah jumlah tersebut juga tidak cukup untuk meringankan beban kos sara hidup para pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji. Bantuan Prihatin Nasional juga hanya diberikan untuk tempoh April dan Mei sahaja sedangkan rata-rata pekerja PKS ini bakal kehilangan pendapatan untuk suatu tempoh yang lebih panjang.

Melihatkan realiti ini, saya mencadangkan agar Kerajaan meluaskan Program Subsidi Upah tersebut kepada semua tenaga kerja PKS bersaiz mikro dan kecil tanpa syarat dan meningkatkan jumlah bantuan kepada RM1,200 untuk tempoh 6 bulan sebagai usaha yang lebih efektif dan mapan dalam membantu ekonomi pasca Covid-19.

Subsidi sebanyak RM1,200 tidak hanya akan mengurangkan beban operasi PKS, malahan ia akan menjamin bahawa setiap pekerja masih akan dibayar gaji minimum RM1,200. Ini akan memberi manfaat paling besar kepada mereka yang bergaji rendah. Sebagai contoh, sekiranya Ali bergaji RM1,200, maka untuk tempoh enam bulan seterusnya beliau masih akan memperolehi jumlah pendapatan yang sama berbanding hanya menerima RM600 melalui Program Pengekalan Pekerja (sekiranya diberi cuti tanpa gaji). Lantaran itu, Ali yang tidak mempunyai baki Akaun II KWSP yang tinggi dan juga tidak pernah layak untuk membuat pinjaman bank, tidak perlu lagi risau akan kehilangan atau kekurangan pendapatan kerana COVID19.

Manakala, Muawiyah yang bergaji RM5,000 sebulan tentunya mempunyai jumlah simpanan peribadi dan caruman KWSP yang lebih tinggi daripada Ali. Mengikut Bank Negara Malaysia, secara purata, 40% daripada jumlah pendapatan Muawiyah ini akan digunakan untuk membayar pinjaman bank, meninggalkan baki sebanyak RM3,000 untuk digunakan bagi menampung keperluan harian dan komitmen lain.

Maka dengan subsidi gaji sebanyak RM1,200 dan pengeluaran RM500 sebulan daripada KWSP, Muawiyah akan mempunyai aliran tunai bulanan sebanyak RM1,700 selama enam bulan tanpa perlu membayar ansuran pinjaman bank. Majikan Muawiyah hanya perlu menanggung baki RM1,300 jika ingin memastikan Muawiyah dapat mengekalkan taraf hidup yang sama. Pasca COVID19, PKS tersebut berjaya mengurangkan kos gaji pekerja daripada RM5,806 kepada RM321 dan dapat meneruskan perniagaan, sekaligus menjamin pekerjaan untuk kedua-dua Ali dan Muawiyah.

Perlu ditekankan, subsidi gaji ini dijangka akan memberi manfaat terus kepada kira-kira 4 juta pekerja PKS dengan melibatkan perbelanjaan langsung kerajaan sebanyak RM28 billion sahaja. Suntikan tunai seperti ini akan dapat menggantikan sebahagian daripada RM95 billion jangkaan penyusutan perbelanjaan domestik.

Program subsidi gaji seperti ini juga telah diperkenalkan di negara-negara seperti United Kingdom, Singapura dan lain-lain sebagai usaha menyelamatkan ekonomi mereka. Cadangan ini akan membantu menyelamatkan sejumlah besar PKS yang menjadi nadi utama ekonomi negara. Dalam keadaan sekarang, kita tidak hanya perlu membuat polisi untuk kemaslahatan pekerja dan majikan, namun kita juga harus menimbangkan dan memilih polisi yang menjamin kelangsungan ekonomi dalam masa jangka panjang.

SHEIKH KHUZAIFAH
“SME untuk rakyat”

Sumber :