Perkampungan haram PATI di Cyberjaya kejutkan orang ramai, siap ada warung dan surau. Sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berselindung di sebalik kawasan bukit dan hutan di Cyberjaya berjaya digempur pada Rabu.
Menurut Sinar Harian, perkampungan haram itu turut dilengkapi dengan warung dan kedai runcit.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan yang dibuat itu melibatkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).
Jelasnya, serbuan itu berjaya menahan seramai 55 PATI warga Indonesia yang berusia antara 16 hingga 70 tahun. Kesemua PATI terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita.
“Kita juga menganggarkan kira-kira 40 warga asing tanpa dokumen berjaya melarikan diri ke dalam kawasan hutan dan belukar yang dikelilingi kayu serta kaca dipercayai menjadi ‘pelindung’ kampung terbabit.
Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan
“Kita (imigresen) percaya PATI yang ditahan ini masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) sejak 2016 dan bekerja sebagai pekerja pembinaan serta tukang cuci,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan tengah malam tadi.
Beberapa orang PATI menyorok ketika serbuan
Tambah beliau lagi, ketika serbuan dijalankan, terdapat PATI yang nekad menyorok di dalam reban ayam dan bawah rumah mereka.
Katanya, keadaan yang tersorok dan sukar dikesan telah menyebabkan pasukan operasi berdepan kesukaran untuk sampai ke perkampungan berusia tujuh tahun itu.
Kedudukan kampung itu juga dikatakan berada di tiga hingga empat kilometer dari laluan utama.
“Rumah PATI ini juga didirikan di celah pokok dan tepi belukar. Malah, dipercayai juga mereka perlu membayar sewa RM500 setiap rumah.
“Bekalan elektrik adalah menggunakan generator manakala sumber bekalan air diperoleh dari perigi yang digali dengan kedalaman kira-kira tiga hingga lima meter. Kemudahan tandas bagaimanapun agak naif,” ujarnya.
Kredit Sinar Harian
Selain itu, perkampungan tersebut juga dipercayai dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, kedai runcit, kedai membekalkan gas memasak dan warung.
“Soal siasat terhadap wanita yang ditahan ini juga memaklumkan mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti nasi lemak, goreng pisang serta kuih di sekitar Cyberjaya.
“Berdasarkan operasi yang dijalankan ini dapat melihat kawasan yang kotor apatah lagi mereka ini tidak mempunyai suntikan kesihatan serta tahap kebersihan makanan yang dicurigai,” katanya.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata bahawa siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti ketua di sebalik perkampungan tersebut.
Ketua tersebut disyaki mengutip duit sewa rumah PATI berkenaan.
Pihak Imigresen juga sedang mengenal pasti pemilik tanah yang membenarkan pembukaan perkampungan haram tersebut.
“Kita juga akan melaporkan kepada pihak Majlis Perbandaran Sepang untuk tindakan memusnahkan rumah-rumah yang didirikan ini bagi memastikan penempatan ini tidak lagi didiami PATI,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
BACA:
Misteri ‘kubur berdarah’ menimbulkan keresahan penduduk di Kedah