Penyokong Azmin pertahan tindakan Azmin, Akmal yang berniat jahat

Penyokong Azmin pertahan tindakan Azmin, Akmal yang berniat jahat

Pemuda Negara dan Penggerak Komuniti Negara Johor menafikan acara disertai Menteri Kanan Azmin Ali di Johor baru-baru ini melanggar prosedur operasi piawai (SOP) Covid-19.

Pemimpin badan itu Saiful Bahari malah mendakwa ahli parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir sebagai berniat jahat dengan menimbulkan persoalan itu.

“Kebencian terhadap Azmin ni tak munasabah, dicetuskan oleh Akmal Nasir. Tweet Akmal Nasir berniat jahat.

“Ayatnya mencetuskan persoalan bukan menuntut jawapan daripada MITI dan Azmin. Apa kaitan SOP kedai makan dengan SOP misi kemanusiaan?” katanya.

Saiful berkata misi bantuan banjir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia itu mendapat kelulusan semua pihak dan berlangsung dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Malah delegasi Datuk Seri Azmin dari KL juga memenuhi SOP iaitu hanya seramai dua orang dalam setiap kenderaan.

“Semua sesi bertemu rakyat dan menghulurkan bantuan juga berlaku dengan pematuhan ketat SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Dan untuk makluman, program semalam telah dipantau sendiri oleh Senior Asisten Komisioner Tuan Alzafny Ahmad, ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor (JPJKK Johor) dan pasukan,” katanya.

Akmal semalam menaikkan di Twitternya gambar Azmin dalam satu majlis di Pengerang, berserta ciapan yang mempersoalkan apakah Azmin mendapat keistimewaaan sebagai menteri dalam soal pematuhan SOP, berbanding rakyat biasa.

Azmin dan beberapa individu lain di dalam foto itu – semuanya berpelitup muka – dilihat sedang membaca sesuatu dengan bungkusan makanan dan air mineral dihidangkan di atas meja.

“Khabarnya ada makan-makan di Pengerang? Bukankah PKP rakyat biasa nak makan di kedai pun tak boleh? Adakah sebab menteri (maka dibolehkan)?” ciapnya.

Azmin dilaporkan menghadiri majlis gotong-royong membersihkan masjid serta mengumumkan peruntukan kecemasan sebanyak RM100,000 untuk penyelenggaraan sistem perparitan di Pengerang, dan dipetik berakta misi bantuan itu mendapat kelulusan MKN.

Menurut Saiful, misi bantuan itu merupakan kerjasama antara Miti dengan Persatuan Pengilang Malaysia (FMM), dan Kota Tinggi dan Pengerang dipilih sebagai lokasi memandangkan bencana banjir di Kota Tinggi telah menyebabkan 1,841 keluarga dengan 6,991 orang terjejas.

Katanya, ia merupakan bukti Azmin seorang menteri yang bertanggungjawab kerana membawa semua pihak, baik kerajaan mahupun swasta untuk membantu rakyat.

“Saya dan rakan-rakan berharap agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam mengatakan sesuatu perkara dan perlu ada asasnya dan bukan hanya menghentam semberono,” katanya. –MK

COMMENTS