Kes penyewa meninggalkan rumah sewa dalam keadaan kotor sering tular di media sosial.
Baru-baru ini, seorang pemilik rumah berkongsi pengalaman serupa apabila mendapati kediamannya dipenuhi sampah sarap selepas penyewa berpindah keluar.
Menurut wanita tersebut, dia sangat terkejut melihat keadaan rumah yang disewakan kepada seorang pelajar perempuan itu.
Sampah, bungkusan, dan pelbagai barangan dibiarkan berselerak tanpa dibersihkan.
“Sebelum ini banyak kes viral tentang penyewa seperti ini. Tak sangka kali ini terkena pada diri sendiri.
Kami anggap ini ujian dari Allah. Alhamdulillah, saya dan suami hadapi dengan tenang,” katanya menerusi kapsyen video yang dimuat naik di media sosial.
Penyewa Mohon Masa untuk Bayar Tunggakan Sewa
Berdasarkan tangkap layar mesej WhatsApp, pelajar perempuan berkenaan meminta tempoh tambahan untuk melangsaikan tunggakan sewa.
“Boleh tak kalau saya nak minta masa lebih sikit sampai hujung minggu depan? Saya minta maaf, kak. Saya ada RM300 je sekarang. Terima kasih sebab banyak tolong saya,” tulis penyewa tersebut.
Pemilik rumah memberi masa tambahan seminggu dan meminta penyewa menghantar foto keadaan rumah. Namun, selepas seminggu, bayaran masih belum diterima. Penyewa itu kemudian meminta tambahan dua hari lagi dengan alasan baru keluar dari unit rawatan rapi (ICU) dan turut menghantar gambar suasana wad sebagai bukti.
Pemilik Rumah Rayu Bantuan Orang Ramai
Susulan insiden ini, pemilik kediaman meminta bantuan orang ramai untuk mengesan pelajar tersebut.
“Bagi sesiapa yang kenal bahagian pengurusan pelajar di MIMET atau Hospital Manjung, tolong hubungi saya. Katanya keluar masuk hospital tahun ini sehingga menangguh semester,” katanya.
Reaksi Netizen
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang bersimpati dan ada yang berkongsi pengalaman serupa.
“Sebab kes macam ni la saya takut nak bagi rumah sewa. Walaupun rumah kecil, modal banyak nak baik pulih.”
“Saya sebelum keluar rumah memang bersihkan semua. Tuan rumah datang semak, dia puji sebab rumah bersih,” komen seorang pengguna.
Kes seperti ini menjadi pengajaran kepada pemilik rumah sewa agar lebih berhati-hati dalam memilih penyewa untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
BACA: Fahrin Ahmad luah hampir 22 tahun jadi anak seni belum pernah terima penghargaan…