Penumpang dedah taktik licik pencuri dalam pesawat, nasib baik kru dan polis

Oleh AHMAD SULAIMAN

Seorang penumpang kapal terbang berjaya mencuri perhatian baru-baru ini selepas berkongsi rakaman memaparkan kegiatan pencurian di dalam pesawat berkenaan.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, penumpang itu mengakui mula merasa curiga apabila salah seorang individu bertindak bertukar tempat duduk di dalam pesawat.

Bukan itu sahaja, individu berkenaan juga dilihat seperti menyelongkar beg diambil dari ruangan simpanan di bahagian atas tempat duduk penumpang yang didudukinya.

Penumpang terbabit akhirnya yakin bahawa individu berkenaan merupakan pencuri selepas melihatnya berulang kali bertukar tempat duduk dan menyelongkar beg lain.

Difahamkan, kejadian di dalam pesawat yang mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Singapura itu berlaku pada 28 Julai lalu.

Penumpang dedah taktik licik pencuri dalam pesawat, nasib baik kru dan polis

“Semasa menaiki pesawat, individu berkenaan terus menukar tempat duduknya dan menurunkan beg dari ruang simpanan atas. Dia menggeledah beg itu dan kemudian meletakkannya semula di tempat asal.

“Modus operandinya adalah berpindah ke tempat duduk baharu, melihat keadaan sekeliling sebelum mengambil beg dari ruangan simpanan di atas kerusi didudukinya.

“Dia juga akan sentiasa melihat sekelilingnya sekiranya ada yang perasan akan perbuatannya itu. Individu terbabit akan duduk di barisan terakhir kabin untuk memerhati penumpang ketika meletakkan barang-barang,” katanya.

Jelas penumpang berkenaan, pencuri tersebut akan memastikan pemiliknya duduk di bahagian hadapan dari lokasi beg diletakkan supaya perbuatannya tidak terbongkar.

Selepas mendapati rakamannya sudah kukuh untuk dijadikan bukti, penumpang itu bertindak melaporkannya kepada kru kabin yang bertugas dalam pesawat tersebut.

“Setelah menggeledah beg di tempat duduk, pencuri itu akan meletakkannya semula di lokasi asal. Dia akan memastikan beg diletakkan dengan betul supaya pemiliknya tidak perasan ia telah diselongkar.

“Perkara itu kemudian dilaporkan kepada kru kabin yang secara diam-diam telah mengesahkan siapa suspek. Dia masih tak sedar dan mengambil beg lain dari ruang simpanan tersebut.

“Kakitangan pengendalian darat masuk dan berdepan dengan pencuri yang sedang menyelongkar beg penumpang lain. Suspek cuba meletakkan semula beg tersebut. Apabila polis dipanggil, dia memberikan alasan tersilap ambil beg,” kongsinya.

Pencuri tersebut kemudian diiringi keluar daripada pesawat itu dan para penumpang segera bertindak memeriksa beg jika ada barang berharga milik mereka yang hilang.

Kerjasama diberikan oleh kru kabin, kakitangan pengendalian darat dan pihak polis yang bertugas di KLIA untuk menangkap pencuri terbabit turut dipuji perakam video.

“Sentiasa simpan barang berharga bersama anda, bukan di dalam ruang simpanan atas. Letakkan beg di tempat yang anda boleh lihat dari tempat duduk dan laporkan sebarang tingkah laku penumpang mencurigakan kepada kru kabin.” Pesannya.

Baca juga: Netizen terharu pemuda Palestin buat mural khas sempena kemerdekaan Malaysia