Pensijilan halal masih di bawah kuasa Jakim – Fuziah

Pensijilan logo halal masih tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata isu pensijilan halal tidak pernah diuruskan oleh badan atau agensi lain sekaligus dakwaan bahawa perkara itu kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF) adalah salah.

“Di bawah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, ia menguruskan aspek berkenaan pensijilan termasuk prosedur pensijilan, takrifan halal serta sistem jaminan halal,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Fuziah berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar semalam, yang memetik Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai berkata pensijilan halal tidak lagi berada di bawah Jakim, sebaliknya MOF.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera didakwa berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di ibu negara, yang mana Fuziah menyifatkan kenyataan itu sebagai menyeleweng, fakta yang salah dan berunsur fitnah.

“Kenyataan ini adalah berniat jahat demi menanam ketakutan dalam kalangan orang Melayu Islam kononnya kerajaan Malaysia baru dipimpin parti DAP. Saya menggesa beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan ini,” katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan juga menuntut supaya Ismail Sabri membetulkan semula kenyataan itu bagi mengelakkan salah faham berkaitan aspek halal atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

BERNAMA