Pengeluaran KWSP : Zahid ingatkan agar ikut keputusan parti

Pengeluaran KWSP : Zahid ingatkan agar ikut keputusan parti. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi diberi peringatan supaya mengikut ketetapan yang diputuskan parti berhubung isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jika sebelum ini Ketua Pemudanya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan isu sama, terbaharu Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mendesak Ismail Sabri supaya membenarkan pengeluaran KWSP seperti yang ditetapkan semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.

“UMNO juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000 kerana rakyat benar-benar berhadapan dengan kesempitan hidup akibat pendemik Covid-19 bukan sahaja yang ditimpa dengan musibah banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, ia sejajar dengan ketetapan MT UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos 2021 lalu.

Zahid dan Asyraf antara pihak yang terus memperjuangkan pengeluaran KWSP RM10,000 secara sekali keluar, lebih-lebih lagi apabila beberapa negeri dilanda musibah banjir.

Sebelum ini, Ismail Sabri menegaskan kecaman dan desakan individu tertentu berhubung isu pengeluaran i-Citra KWSP tidak akan memberi kesan kepadanya dalam meneruskan usaha membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.

Ismail Sabri tidak menamakan individu mendesaknya berhubung isu pengeluaran KWSP, namun diketahui umum Asyraf dan Zahid serta bekas PM, Datuk Seri Najib Razak yang lantang membangkitkan isu tersebut.

“… yang tidak berpuas hati, mengecam akan terus berasa begitu di media sosial. Masing-masing ada tugas masing-masing.

“Saya harap kita semua tidak terkesan dengan serangan yang dibuat kerana kita menjalankan tanggungjawab… biarkan.. dan (ini) tidak akan menyekat saya daripada terus bekerja,” kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menekankan pentadbirannya memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian jangka panjang masalah banjir secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko dan jumlah lokasi terjejas akibat bencana itu pada masa depan.

Jelasnya perkara itu menjadi agenda utama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sebaik sahaja operasi pascabanjir selesai, dan ia melibatkan kerajaan negeri, kementerian dan agensi kerajaan serta pakar dalam bidang berkaitan khususnya dalam aspek pengairan dan saliran.

“Kita akan cari dan bincangkan apa sahaja modul yang sesuai digunakan untuk menyelesaikan masalah ini, dan jika ia tidak boleh dilaksanakan secara serentak di Malaysia, fokus akan diberikan di daerah atau kawasan berisiko tinggi banjir.

“Rancangan jangka panjang memerlukan kos yang besar tetapi ia membantu mengurangkan kos dikeluarkan kerajaan setiap kali banjir dan setakat ini, kita telah membelanjakan RM1.4 bilion untuk bantuan sahaja, dan jumlah ini dijangka bertambah kerana kita belum menerima laporan penuh kerosakan,” katanya lagi.

BACA JUGA :
Berlaku ‘ribut taufan’ dalam Umno gara-gara pengeluaran KWSP
Pemimpin Umno anggap Ismail Sabri terlalu ikut telunjuk Bersatu
Muhyiddin tegur Umno, jangan berlagak macam ‘abang besar’

CATEGORIES