Umum sedia maklum bayi tidak boleh diberi mana-mana ubat tanpa nasihat doktor kerana ia akan memberi kesan kepada tubuh badan mereka.
Namun pengasuh ini memberi alasan bayi itu selsema menyebabkan dia memasukkan ubat tersebut ke dalam susu.
Disebabkan itu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendenda pengasuh berusia 66 tahun sebanyak RM8,000 selepas pengakuan bersalah diterima lapor Harian Metro.
Hakim Dr Azrol Abdullah menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Hew Foong Chun dan memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.
Hew mengaku bersalah menganiaya seorang bayi lelaki berusia 18 hari pada waktu kejadian dengan mencampurkan ubat selesema ke dalam botol susu kanak-kanak itu, bulan lalu.
Mahkamah juga memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun berserta cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, Hew diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 90 jam dalam tempoh enam bulan bermula Isnin.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah residensi di Bukit Jalil, Cheras, pada 2.21 pagi, 15 September lalu.
Menurut fakta kes, bapa bayi selaku pengadu mengupah wanita tersbeut sebagai pengasuh untuk menjaga bayi baru lahir selama 20 hari.
Malah dia juga membayar gaji sebanyak RM4,500 untuk dijaga di kediaman pengadu dan dia mula menyedari anaknya itu hanya tidur setiap hari dan kesihatannya tidak seperti bayi lain.
Pengadu yang memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melihat tertuduh memasukkan ubat selesema ke dalam botol susu dan memberi bayi itu minum.
Sedangkan bayi tersebut sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
Tertuduh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Baca juga: Sultan Nazrin titah perangi GISBH hingga ke lubang cacing