Pengarah KPDNHEP Melaka dirawat di ICU selepas terlibat kemalangan. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar terlibat dalam nahas jalan raya dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai, Ayer Keroh di sini.
Beliau bagaimanapun dimaklumkan berada dalam keadaan stabil, namun perlu menggunakan alat bantuan pernafasan selepas mengalami kecederaan di dada, selain patah kaki kanan.
Nahas dilaporkan berlaku pukul 7 pagi semalam, selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandu Norena bertembung dengan sebuah Proton Saga di lampu isyarat persimpangan di Cheng di sini.
Norena ketika dihubungi pemberita memberitahu, dia masih dirawat di wad ICU hospital terbabit dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Saya masih di ICU, sekarang ini perlu pakai alat bantuan pernafasan kerana sukar nak bernafas. Alhamdulillah saya terselamat, saya mahu berpesan kepada orang ramai agar sentiasa memakai tali pinggang keledar semasa memandu kerana malang tidak berbau,” katanya ringkas.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Saga dipandu lelaki berusia 27 tahun itu hilang kawalan.
“Setiba di lampu isyarat persimpangan Pasaraya Lotus, kereta tersebut telah hilang kawalan dan melanggar Myvi dipandu Norena yang dari arah bertentangan menghala ke Masjid Tanah. Akibat kemalangan itu kedua-dua pemandu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BACA:
Tular dakwaan punca banjir kerana pelepasan air empangan di Melaka, ini sebenarnya yang berlaku
Dua ADUN PN kekal menjadi pembangkang di Melaka