Setiap pasangan yang berkahwin sudah semestinya mahukan majlis perkahwinan dan kenduri mereka berjalan dengan lancar.
Namun, sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, tuhan yang menentukan segalanya.
Itulah yang boleh digambarkan apabila veil putih yang digayakan oleh seorang pengantin perempuan ini terkena kuah belacan yang tumpah pada veil tersebut.
Namun, apa yang menjadi perhatian netizen ialah pengantin perempuan ini dilihat kekal tenang meskipun kuah belacan tumpah pada veil putih yang digayakannya itu.
Kejadian kuah belacan tumpah itu telah dikongsikan oleh akaun jurugambar perkahwinan iaitu Senjakala.wedding menerusi Instagram.
Dalam video yang berdurasi selama 19 saat itu, dapat dilihat bahawa pengantin perempuan berdiri di samping suaminya sambil veil yang terkena kesan kuah belacan tumpah itu dibersihkan dengan bantuan ahli keluarganya.
Menurut jurugambar yang berkongsikan detik-detik itu di Instagram, suami pengantin ini juga turut menenangkan isterinya dan dapat dilihat pasangan raja sehari ini kekal tenang meskipun busana perkahwinan pengantin perempuan terkena kotoran.
Dapat dilihat juga bahawa kesan kotoran itu dibersihkan dengan menggunakan bedak talkum, dan meninjau ke ruangan komen, difahamkan, bedak talkum boleh menyerap kotoran minyak dan apabila dicuci nanti, kotoran itu akan hilang dengan lebih mudah.
Di ruangan komen yang sama juga, ramai netizen yang turut berkongsikan tips untuk membersihkan kesan kotoran seperti itu dengan lebih efektif.
Rata-rata netizen juga memuji sikap pengantin perempuan yang kekal tenang ketika kejadian tersebut.
Difahamkan juga, baju dan veil itu tidak rosak dan tetap berada dalam keadaan baik.
Apa-apa pun, kita ucapkan selamat pengantin baru dan semoga bahagia hingga ke Jannah kepada kedua-dua mempelai ini.