Pengantin batal majlis kawin,tak tahan ibu rembat wang hantaran bayar hutang, duit ‘salam kaut’ pun jadi sasaran

Oleh AHMAD SULAIMAN

Setiap pasangan yang bakal berkahwin pasti diuji dengan pelbagai dugaan sebelum menjelang hari bahagia.

Tidak terkecuali bagi seorang wanita yang meluahkan kekecewaannya terhadap sikap ibunya berkaitan wang hantaran perkahwinannya.

Wanita tersebut menjelaskan bahawa wang hantaran berjumlah RM10,000 yang diberikan oleh pihak pengantin lelaki

sepatutnya digunakan untuk menempah dewan perkahwinan serta menyediakan cenderahati (goodies) untuk tetamu.

Namun, konflik mula timbul apabila ibunya meminta keseluruhan wang tersebut diserahkan kepadanya untuk melunaskan hutang arwah suami.

Pengantin batal majlis kawin,tak tahan ibu rembat wang hantaran bayar hutang, duit ‘salam kaut’ pun jadi sasaran

“Mak saya minta wang hantaran RM10,000 itu untuk bayar hutang arwah ayah. Katanya, selebihnya baru akan diserahkan semula kepada saya bagi urusan perkahwinan,” katanya.

Situasi semakin rumit apabila ibunya juga membantah cadangan pihak lelaki supaya wang hasil salam kaut (sumbangan tetamu) semasa majlis nanti dibahagikan sama rata antara kedua-dua pihak keluarga. I

ni kerana majlis perkahwinan akan diadakan secara bersama. Sebaliknya, ibunya mahu menguasai keseluruhan wang tersebut, menyebabkan wanita itu berasa serba salah.

“Sekarang saya semakin tawar hati untuk meneruskan majlis. Saya malu dengan pihak lelaki disebabkan perangai mak. Mana boleh guna duit anak orang lain untuk bayar hutang keluarga sendiri. Sedangkan mak saya tak keluarkan satu sen pun untuk majlis kami,” ujarnya dalam nada kecewa.

Wanita itu kini dalam dilema, buntu antara memenuhi kehendak ibunya atau menjaga hubungan baik dengan keluarga bakal suami. Luahan hatinya di media sosial mendapat perhatian netizen, yang memberikan pelbagai reaksi dan pandangan.

Reaksi Netizen
Ada netizen menyarankan agar wanita tersebut berbincang secara baik dengan ibunya untuk mencari jalan penyelesaian yang adil.

“Tak boleh macam ni. Mohon pengadu tegur dan tegas dengan cara hormat. Mana boleh gunakan duit anak orang lain untuk langsaikan hutang famili sendiri,” komen seorang pengguna media sosial.

Sementara itu, ada yang menasihatkannya supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk meneruskan perkahwinan jika konflik ini tidak dapat diselesaikan.

“Kalau keluarga lelaki tahu perkara ini, mesti mereka marah. Hutang keluarga sepatutnya diselesaikan oleh keluarga sendiri, bukan menjadi tanggungjawab pihak lain,” tambah seorang lagi.

Kisah ini mengingatkan betapa pentingnya komunikasi yang baik dan kejelasan dalam menguruskan kewangan serta tanggungjawab dalam sesebuah perkahwinan, agar ia tidak menjadi punca konflik yang lebih besar di kemudian hari.

BACA: Rupanya ini sebab tak digalakkan pasang ayat ruqyah ketika perjalanan jauh, cukup buat 3 saranan ini