Pengangguran semakin meruncing, Pemuda Amanah kemuka cadangan kepada kerajaan

Pengangguran semakin meruncing, Pemuda Amanah kemuka cadangan kepada kerajaan

CADANGAN & LANGKAH PERLU DIAMBIL KERAJAAN DALAM MENGATASI MASALAH PENGANGGURAN YANG SEMAKIN MERUNCING

Penularan virus Covid -19 memberi kesan kepada seluruh dunia tidak terkecuali di Malaysia terutama dalam sektor ekonomi. Pelbagai lapisan masyarakat menerima kesan yang ketara.

Mengikut unjuran dari MIER, kesan jangka pendek, sekitar satu juta rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan dalam tempoh PKP dan PKPD. Ditambah dengan situasi ekonomi yang perlahan untuk dipulihkan, angka berkenaan dijangka boleh meningkat sehingga mencecah 1.5 juta orang.

Sekiranya tiada sebarang tindakan tuntas yang diambil serius oleh kerajaan dalam tempoh terdekat ini, situasi ini akan memberi kesan yang lebih memudaratkan, khususnya buat generasi muda negara.

Dalam tempoh jangka panjang, fenomena ini akan menjejaskan struktur pasaran kerja di Malaysia. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sekirannya berlaku krisis atau gelombang kedua Covid-19 dianggarkan seramai 2.7 juta rakyat Malaysia berisiko hilang pekerjaan disebabkan bekerja sendiri dan tidak mempunyai kemahiran.

Malah lebih membimbangkan, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga seramai 71.4% rakyat malaysia yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi bagi tempoh kurang daripada satu bulan dan tiada perlindungan seperti insurans atau takaful.

Dengan seluruh keinsafan bahawa negara ini milik bersama dan perlu saranan segar daripada generasi baharu politik, Pemuda AMANAH mengusulkan kepada pihak kerajaan untuk penyelesaian berikut:

CADANGAN PENYELESAIAN UNTUK TEMPOH JANGKA PENDEK

a) Subsidi gaji tambahan perlu dilanjutkan selama tempoh enam bulan,

b) Bantuan Sara Hidup (BSH) perlu dilakukan secara berterusan untuk tempoh enam bulan,

c) Melanjutkan moratorium untuk tempoh enam bulan selepas tamat,

d) Menambahkan geran dan peluang kewangan kepada industri kecil sederhana (IKS) untuk membantu kelangsungan perniagaan mereka,

e) Memberi potongan cukai kepada rakyat atau perniagaan yang membuat pembayaran berkaitan Covid-19,

f) Memberikan elaun serta perbelanjaan yang bekerja di rumah untuk individu yang dikuarantin supaya mereka boleh terus bekerja,

g) Memberikan diskaun sewa kepada para peniaga yang menyewa di premis kerajaan & meninggikan insentif potongan cukai kepada pemilik yang memberikan diskaun sewa

CADANGAN PENYELESAIAN UNTUK TEMPOH JANGKA PANJANG

1. Kerajaan Perlu Memberi Jaminan Peluang Pekerjaan Kepada Semua

a) Peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam tempoh enam bulan, diberi latihan bersijil serta dibayar gaji yang berpatutan.

b) Memberikan geran atau subsidi kepada perniagaan atau sektor swasta yang menawarkan peluang pekerjaan baharu.

c) Memberi keutamaan kepada pekerja yang berpengalaman tetapi menganggur hampir tempoh 6 bulan dan bagi kategori anak muda yang sudah menganggur dalam tempoh 3 bulan.

d) Menumpukan kepada industri yang memerlukan pekerja seperti pembinaan dan perkilangan selepas pemutihan pekerja asing.

2. Kerajaan Perlu Mengenalpasti & Memberikan Tumpuan Terhadap Struktur Pekerjaan

a) Industri yang paling terjejas ketika ini adalah industri pelancongan. Sebaliknya industri seperti kesihatan, pertanian, teknologi dan makanan meningkat. Oleh tu pihak kerajaan perlu menyediakan mekanisme yang boleh membawa pekerja dari industri pelancongan kepada industri yang tidak terjejas dengan kadar segera.

b) Pihak kerajaan juga perlu memberikan elaun kepada pekerja yang menukar bidang, daripada sektor yang terjejas seperti industri pelancongan kepada industri yang lain.

c) Memberi serta meningkatkan latihan kepada pekerja yang beralih kepada industri lain dengan menggunakan agensi kerajaan seperti MARA, KWSP dan HRDF.

3. Kerajaan Membuat Alternatif Dengan Menyediakan Perkhidmatan Insurans/Takaful Kepada Yang Bekerja Sendiri

a) Tujuan skim insurans/takaful ini diperkenalkan untuk memudahkan sekiranya penerima BSH ditimpa bencana seperti sakit dan kehilangan pekerjaan.

b) Alternatif yang boleh digunakan adalah semua penerima BSH secara automatiknya didaftarkan skim takaful.

c) Caranya adalah seperti sebahagian duit yang diterima akan ditolak secara automatik untuk pendaftaran skim takaful ini.

d) Sekirannya penerima BSH tidak ingin mendaftar, mereka perlu memaklumkan serta menunjukkan skim insurans yang telah dilanggani.

4. Memaksimumkan Peranan Pusat Zakat & Waqaf

a) Setiap negeri di Malaysia mempunyai pusat zakat dan waqaf tersendiri yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

b) Sebagaimana yang dimaklumi, pusat zakat memainkan peranan penting untuk mengenalpasti golongan yang kurang berkemampuan atau asnaf.

c) Pusat Zakat wajar menggunapakai pendapatan garis kemiskinan baru yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan sebanyak RM2,208 bagi penentuan had kifayah penerima zakat, dan mempertimbangkan zakat untuk mereka yang kehilangan pendapatan sementara.

d) Selain itu Pusat Zakat harus diperanankan secara aktif dalam menyalurkan data serta bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain. Contohnya, pusat zakat bekerjasama dengan Pejabat Pertanian untuk mengenalpasti golongan petani yang tidak dapat meneruskan rutin harian disebabkan kehilangan sumber pendapatan.

Hakikatnya, situasi luar biasa hanya boleh dikendalikan dengan pendekatan luar biasa juga. Justeru dengan seluruh solusi yang dikemukakan ini, Pemuda AMANAH berharap agar ianya dilaksanakan pihak kerajaan demi membantu dan meringankan beban rakyat.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

21 Julai 2020 | 29 Zulkaedah 1441H

COMMENTS