Harga penginapan dijangka akan meningkat sekiranya kerajaan menetapkan dasar penginapan hotel sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datin Christina Toh, menyatakan bahawa pelaksanaan dasar tersebut
pasti akan membawa kepada kos operasi yang lebih tinggi dan berkemungkinan akan diterjemahkan kepada kenaikan harga bilik.
“Hotel telah menghadapi kenaikan kos dengan gaji minimum baharu yang akan berkuat kuasa pada Februari 2025.
Tekanan kewangan tambahan ini akan menambah lagi beban kepada industri, yang kini sedang bergelut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menggesa pengusaha hotel untuk menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Menurutnya, penginapan selama 23 jam sehari adalah perkara biasa di luar negara dan tidak menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima.
Mengulas mengenai kenyataan tersebut, Christina menegaskan bahawa cadangan itu tidak praktikal dan akan mencipta pelbagai cabaran untuk pengusaha hotel dan tetamu. Menurutnya, pertambahan tempoh penginapan ini akan menyukarkan usaha mengekalkan kebersihan, keselamatan, dan kualiti bilik, terutama memandangkan sektor tersebut sedang bergelut dengan kekurangan tenaga kerja, khususnya di bahagian pengemasan.
“Kebiasaannya, masa daftar masuk yang standard di seluruh dunia adalah antara jam 2 hingga 3 petang, manakala masa daftar keluar ditetapkan antara 11 pagi dan 12 tengah hari. Waktu ini penting untuk memberi masa yang mencukupi kepada pihak hotel mengekalkan standard tersebut.
“Mengharapkan pihak hotel membersihkan bilik dalam tempoh satu hingga dua jam, terutamanya semasa musim puncak atau dengan kadar penghunian yang tinggi, akan menjejaskan tahap kebersihan, keselamatan, dan kualiti,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menawarkan bantuan untuk memudahkan perbincangan dengan kementerian lain, MAH menekankan bahawa penggubalan standard penginapan 23 jam di seluruh negara memerlukan lebih daripada sekadar jaminan.
Christina menjelaskan bahawa adalah lebih baik jika kekurangan tenaga kerja diselesaikan sepenuhnya sebelum melaksanakan sebarang dasar baharu yang berpotensi memburukkan operasi.
“Sebelum mengenakan piawaian penginapan 23 jam, kami menggesa kerajaan untuk terlebih dahulu menangani kekurangan tenaga kerja yang terus membebankan industri.
Selain itu, kami menyeru tindakan terhadap isu-isu kritikal lain seperti pengawalseliaan sewa jangka pendek dan kos utiliti yang telah dibangkitkan secara konsisten oleh industri dalam pelbagai mesyuarat,” tegasnya.
BACA: Banyak jenis saiz dan warna puting payudara, ini warna puting yang sihat