Penduduk Kg Bharu kecewa ditipu Perikatan Nasional

Penduduk Kg Bharu kecewa ditipu Perikatan Nasional

Penduduk Kampong Bharu terkejut apabila kerajaan sekarang tidak boleh membeli tanah mereka lebih dari kadar RM1,000 sekaki persegi, tidak seperti yang dihebohkan oleh beberapa pemimpinnya semasa mereka mengkritik tawaran pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini.

Menteri kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini mendakwa pembelian harga tanah Kampong Bharu boleh mencecah sehingga RM3,000 mengikut harga pasaran, kata penduduk.

Seorang penduduk Kampong Bharu yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 48, berkata demikian dengan merujuk kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Malah pentadbiran BN terdahulu yang juga disertai Annuar juga tidak mampu menawarkan harga lebih RM1,000 sekaki, kata penduduk ini kepada The Malaysian Insight.

“Agak mengejutkan kerana macam mana PN boleh berani angkat (beli) tanah RM1,000 kaki persegi, sedangkan beliau (BN) yang dah lama tadbir RM1,000 lebih pun tak boleh.

“RM3,000 harga pasaran yang beliau dakwa dulu mana?” soalnya.

Khairul juga mengesyaki Annuar mempunyai niat tertentu dengan menyatakan tawaran dengan harga RM1,000 sekaki persegi itu tidak dapat dilaksanakan.

“Seorang menteri boleh jatuhkan nilai harga tanah sedangkan Kampong Bharu itu di tengah bandar.

“Rumah di Lembah Keramat itu pun sekarang kalau jual dah boleh dapat RM6 juta hingga RM7 juta tak tahulah kenapa beliau berkata begitu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Annuar pada minggu lalu berkata pembelian tanah sebanyak RM1,000 bagi satu kaki persegi tidak dapat dilaksanakan kerana hanya 61% pemilik bersetuju dengan proses jual beli itu .

Selain itu kerajaan tiada sumber untuk membiayai kos pembelian tanah dianggarkan RM7 bilion itu, kata menteri Umno tersebut.

Namun pada tahun lalu, Annuar isu pembangunan Kampong Bharu akan selesai sekiranya kerajaan PH pada masa itu membayar mengikut harga pasaran sekurangnya-kurangnya RM3,000 sekaki.

Annuar berkata isu berkenaan tidak perlu dipolitikkan lagi dan kerajaan PH hanya perlu membayar mengikut harga pasaran.

“Tak payah nak politik Kampong Bharu. Bayar ikut harga pasaran, selesai. Isunya berapa peratuskah harga ditawarkan berbanding harga tanah bersebelahan (sekitar KLCC)?

“Kurang daripada itu, kita faham tapi takkan 30% sahaja dari harga tanah KLCC yang menjangkau RM3,000 kali persegi,” katanya.

Mengulas kenyataan yang berubah-ubah itu, Khairul berkata sebagai kerajaan Melayu pemimpin PN sepatutnya membantu kaum Melayu.

“Kita sebagai Melayu, kerajaan Melayu bantulah orang Melayu, memang ramai yang tak setujulah termasuk pengikut Umno yang ada tanah di sini pun tak setuju,” katanya.

Katanya ramai yang kecewa mendengar mendengar kenyataan menteri tersebut terutama yang telah bersetuju untuk menjual tanah.

“Memang kecewa, orang dah mula berharap. Macam kami adik-beradik ada 11 orang. Seorang dah meninggal. Kalau jual harga yang kurang RM850 memang lebih baik tak payahlah,” katanya.

Jelasnya walaupun daripada golongan miskin, bukan mudah untuk mereka melepaskan harta tersebut.

Ketua Kampong Bharu Jalan Hamzah Ab Malek Salleh berkata majoriti penduduk menolak untuk menjual tanah kurang dari RM2,000 kaki persegi.

“Semasa PH tawarkan RM1,000 kaki persegi pun ramai menolak, kalau dengan sekarang kerajaan kata kurang RM1,000 pun memang kita akan tolak juga.

“Paling kurang pun kita nak atas RM2,000,” katanya.

Beliau berkata penduduk Kampong Bharu sememangnya tidak meletakkan harapan tinggi ke atas kerajaan sekarang untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Dua-dua kerajaan sama, gagal untuk menyelesaikan isu tanah baru. Masalahya kalau nak bangunkan tanah Kg Baru ini carilah tempat untuk kita tinggal. Ini mana kita nak duduk.

“Jadi mana-mana kerajaan pun sama, yang kerajaan baru macam biasalah sama macam dulu,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pengurusan Komunikasi Korporat Kampong Bharu Roslan Mohammad menjelaskan nilai harga tanah itu tidaklah seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Katanya penawaran harga RM850 yang dibuat dulu merupakan nilai maksimum yang diletakkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JJPH).

“Masa kita tawarkan harga RM850 memang itu yang paling maksimum jadi kita ambil paling tinggi lepas kemudian kita tambah dalam bentuk saham RM150.

“Lepas itu kita benarkan juga pemilik tanah itu sendiri bincang dengan pemaju atau kita akan bantu pemilik cari pemaju jual,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Annuar bahawa harga itu sepatutnya setanding harga pasaran RM3,000, Roslan berkata kenyataan ketika pemimpin itu bukan menjadi anggota kerajaan.

“Annuar Musa beliau komen dulu bukan sebagai anggota kerajaan dan bila jadi menteri beliau dah dapat gambaran memang harga takkan boleh lebih ikut seperti jabatan penilaian syorkan.

“Itu saya tak nak komen sangat dakwaan beliau. Tapi bila beliau jadi kerajaan maka lebih realistik kalau melibatkan harga tanah memang takkan dapat sampai yang digembar-gemburkan,” katanya.

Jelasnya salah satu sebab harga itu tidak boleh meningkat tinggi kerana tanah Kampung Baru diklasifikasikan sebagai tanah kepentingan pelancong.

Mengulas mengenai reaksi pemilik lain, Roslan berkata maklum balas daripada waris berkenaan bercampur-baur.

”Ada yang kecewa sebab mereka setuju untuk jual dan ada yang rasa bagus sebab mereka boleh dapatkan pulangan lebih tinggi banding kerajaan tawarkan,” katanya.

Tawaran harga RM1,000 sekaki persegi bawah pentadbiran PH sebelum ini meliputi bayaran harga RM850 secara tunai dan RM150 dalam bentuk saham kepada pemilik dan pewaris.

Pegangan saham itu dalam syarikat bertujuan khas (SPV) bagi tujuan pembangunan.

Ia adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Rancangan pembangunan itu hanya menerima persetujuan 61%, selain melibatkan kos anggaran pembelian tanah sehingga RM7.4 bilion di samping kos lain yang mencecah hampir RM10 bilion.

Kumpulan penduduk Kampong Bharu juga menyambut baik pembangunan tanah mengikut berdasarkan blok mengikut cadangan pembangunan asal di segi tiga emas Kuala Lumpur itu.

Sumber :

COMMENTS