Pendakwah Islam perlu jelaskan keburukan sebar berita palsu di media sosial

download - 2019-09-27T083644.839.jpg
Pendakwah Islam pada masa kini khususnya perlu bijak dan berhikmah dalam menjelaskan kepada masyarakat tentang keburukan menyebarkan berita-berita palsu terutama di media sosial, kata Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

“Tindakan orang awam menyebarkan berita palsu tidak kira melalui hantaran di laman sosial atau surat layang ini tanpa usul periksa adalah tindakan tidak bertanggungjawab, katanya kepada Bernama ketika ditemui di Majlis Muzakarah Pakar: Kaedah Fiqh Manhaj Malaysia di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

“Menjadi tugas pendakwah untuk menilai dengan bijak sekiranya ada kebenaran di sebalik hantaran-hantaran itu maka ia perlu dijelaskan kepada masyarakat untuk dibetulkan bersama dan sekiranya tidak, elok diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya yang membuat pembentangan mengenai ‘Fiqh Dakwah Masyarakat Majmuk di Malaysia’ pada majlis itu.

Dalam pada itu, Pengerusi IKIM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata perbahasan mengenai manhaj Malaysia semakin diperlukan berikutan masyarakat majmuk di negara ini yang kian dihimpit pelbagai fahaman ekstremisme yang memecah belahkan perpaduan rakyat di negara ini.

“Perlunya para pendakwah kita menjelaskan dengan lebih lanjut dan berhikmah mengenai bahaya ekstremisme ini contohnya gerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Tugas pendakwah yang duduk dalam masyarakat majmuk sebenarnya lebih mencabar kerana mereka perlu turut menekankan aspek penyebaran Islam berasaskan kebijaksanaan dengan hujah yang kukuh, serta turut mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum, katanya.

Sementara itu Mohd Farid Ravi yang juga penceramah bebas mencadangkan masjid-masjid di setiap negeri diperbadankan dan diterajui oleh sebuah badan berpusat di peringkat nasional bagi membantu kerajaan dalam menampung keperluan semasa masyarakat umat Islam.

Dengan inisiatif institusi keagamaan itu diperbadankan, dana yang dikutip daripada setiap masjid dapat disatukan dan ianya dapat dimanfaatkan untuk kegunaan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lebih besar serta menyeluruh.

“Kita ambil contoh sekiranya setiap masjid di Wilayah Persekutuan diperbadankan, dana yang dapat dikumpulkan mungkin lebih RM60 juta, jadi dengan dana itu kita boleh buat masjid dan surau yang lain serta membantu orang-orang susah mengikut keperluan di peringkat kariah atau negeri.

Turut hadir ialah Mufti Terengganu Datuk Dr Zulkifly Muda yang membuat pembentangan di slot ‘Fiqh Waqi’ (fiqh realiti) dan Tajdid Fatwa Dalam Realiti Semasa di Malaysia’, serta Prof Dr Mohd Nazari Ismail, Profesor Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya yang membentangkan slot ‘Fiqh Muamalah dan Pembangunan Ekonomi Ummah’.

BERNAMA