Kisah seorang wanita yang memilih berhenti kerja kerana rasa bosan dan keletihan dengan banyaknya ‘group chatting’ di pejabat telah menimbulkan perbincangan besar di kalangan netizen di China.
Tang Ying, seorang pereka di sebuah syarikat hartanah di Beijing, China, telah bergelar pekerja selama empat tahun.
Di tempat kerjanya, dia terlibat dalam lebih daripada 600 ‘group chat’ kerja di WeChat.
Kisah Ying ini menjadi viral kerana keputusannya untuk meletak jawatan dan meninggalkan ratusan kumpulan WeChat. Proses meninggalkan kumpulan WeChat itu sendiri mengambil masa sehingga 3 jam.
Menurut laporan South China Morning Post, kisah Ying telah menarik perhatian lebih daripada 160 juta netizen di Weibo, media sosial di China. Dia merasa tertekan dan kehilangan motivasi dengan pekerjaannya, walaupun gaji bulanannya antara 20,000 hingga 30,000 yuan.
Di syarikat tempat dia bekerja, Ying bertanggungjawab untuk mengawasi reka bentuk dalaman beberapa hartanah komersial. Katanya, tekanan menguruskan beberapa pusat membeli-belah telah memberi kesan negatif kepada kesihatan mentalnya.
“Saya tidak berani mematikan telefon kerana tidak mampu untuk mengabaikan mesej yang masuk, bimbang kalau nanti kehilangan maklumat penting,” kata Ying.
Menurut Ying, kumpulan WeChat biasanya dibentuk apabila kedai baharu akan dibuka, dengan ahli terdiri daripada kakitangan pusat membeli-belah, pengurusan hartanah, kakitangan bomba, juruteknik penghawa dingin, pemilik kedai, dan pekerja hiasan.
Dari satu kumpulan ke kumpulan lain, Ying sentiasa dihujani dengan pelbagai soalan berkaitan kerja sehingga membuatkan dia merasa seperti robot.
Berasa penat dan letih, Ying membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dan pulang ke kampung halamannya di Sichuan.
Ying kini menjalani kehidupan di sebuah kampung yang terletak 30 kilometer dari bandar Nanching. Selain itu, dia juga memutuskan untuk memulakan perniagaan dengan menjual sosej buatan sendiri dan daging awet dalam talian.