Pemuda UMNO hari ini meluahkan rasa kecewa selepas pembentangan bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuntutan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara ‘one-off’ yang tidak dimasukkan dalam Bajet 2022 mengundang kemarahan rakyat yang mana perkara itu menjadi harapan besar majoriti rakyat namun ia tidak dibentangkan oleh Menteri Kewangan.
“Sejujurnya, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa #TuntutanRAKYAT yang kami perjuangkan tidak dipenuhi, walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa #TuntutanRakyat yang kami perjuangkan ditunaikan kerajaan termasuk Moratorium tanpa faedah.

“Namun antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat iaitu Pengeluaran Simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh Kerajaan dalam pembentangan kelmarin.
“Apakan daya, walaupun perkara ini telah berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri-siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara hatta pengurusan tertinggi KWSP,” katanya di media sosial Facebook, pada Sabtu.
“Banyak cabaran dan kekangan yang akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah kerajaan untuk menjayakan Bajet 2022 ini.
“Andaian ekonomi dan pengenalan cukai dan duti eksais baru untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak.
“Oleh yang demikian, pandangan, kritikan dan cadangan-cadangan untuk penambahbaikkan Belanjawan 2022 oleh Pemuda UMNO Malaysia akan disampaikan kepada Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Ahli-Ahli Parlimen,” jelasnya.