Pemuda Umno Alor Setar minta Zahid Hamidi letak jawatan presiden Umno

Pemuda Umno Alor Setar minta Zahid Hamidi letak jawatan presiden Umno

Pemuda UMNO Alor Setar meminta Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjiwa besar berkorban dengan berundur daripada jawatan itu demi menyelamatkan survival parti.

Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar meminta Ahmad Zahid berjiwa besar berkorban jawatan Presiden UMNO demi menyelamatkan survival dan hala tuju parti yang lebih fokus supaya memastikan parti dapat terus bergerak ke hadapan dengan kuat.

Menurutnya, Pemuda UMNO Alor Setar membawa suara ini hasil pendapat akar umbi di bawah yang semakin gelisah dengan krisis yang sedang melanda parti.

“Akar umbi juga tertanya tanya tentang cerita-cerita yang UMNO mahu menjadi kerajaan dengan membentuk ikatan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Suara suara ahli di bawah terkilan dengan cerita berkenaan dan mahukan penjelasan dan suara mereka jelas menolak sebarang kerjasama dengan PH, terutamanya yang secara tidak langsung bermakna UMNO mengiktiraf DAP.

“Ahmad Zahid harus melihat senario yang lebih besar iaitu kepentingan parti lebih penting daripada kepentingan individu dan juga kepentingan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Mohd Johan berkata, parti perlu diselamatkan dengan langkah yang berani dan tegas bukannya bersembunyi di belakang parti seperti perisai untuk kes peribadinya malah wujud perundingan pintu belakang yang jijik dan memualkan akar umbi serta rakyat malah ia jauh menyimpang dari resolusi parti di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018.

“Melihat kembali garis masa, iaitu dari PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) pada bulan Mei lalu, Perhimpunan Agung UMNO pada hujung bulan September serta kejutan yang berlaku di Sabah dan berita beberapa Ahli Parlimen UMNO yang sudah, bakal lompat, Pemuda UMNO Alor Setar tidak mempunyai pilihan selain dari membuat rayuan pertimbangan keputusan berkenaan demi masa depan parti.

“Kami berpendapat, Datuk Seri (Ahmad Zahid) gagal menunjukkan sikap kepimpinan yang tegas, karisma serta gagal menunjukkan hala tuju yang jelas mengenai haluan masa depan parti menyebabkan Ahli Parlimen dan sebahagian kepimpinan bahagian bahagian membawa haluan masing masing,” katanya.

Beliau berkata, sejak dari memangku jawatan Presiden sehingga dilantik menjadi Presiden, tidak kelihatan apa usaha bersungguh-sungguh beliau menyuntik semangat ahli dan memperkuatkan apa fokus parti yang sebenar.

“Sikap diam beliau sangat meresahkan kami di akar umbi. Tiada hala tuju mahupun satu matlamat yang jelas dari Presiden menyukarkan kami menyampaikan mesej kepada akar umbi tambahan pula secara diam diam ada komplot sumbang yang berusaha merebut kuasa secara jalan pintas yang khianat pada keputusan rakyat,” katanya.

Semalam Pemuda UMNO Sabah turut mendesak supaya Ahmad Zahid segera meletakkan jawatan kerana didakwa hilang penguasaan terhadap parti dan tidak lagi dihormati oleh pemimpin dan ahli.

Berita Penuh:

https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/12/508960/pemuda-umno-alor-setar-minta-zahid-letak-jawatan

COMMENTS