Pemuda Pas Pulau Pinang tiba-tiba mengamuk dengan Presiden Gerakan, rupanya ini yang Dominic Lau buat
Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor berang dengan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),
Datuk Dr Dominic Lau dengan menuntut Timbalan Perikatan Nasional (PN) itu berundur daripada bertanding kerusi Melayu di kawasan itu pada PRN bulan depan.
Naib Ketuanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar menegaskan bahawa Dominic tidak harus berangan-angan untuk berbuat demikian atau berdepan tindakan keras daripada sayap pemuda kawasan itu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, Afiq berkata, pihaknya akan menggerakkan perarakan besar-besaran calon Bebas di DUN Telok Ayer Tawar dan Permatang Berangan pada penamaan calon 29 Julai nanti jika Dominic masih berkeras untuk bertanding di kerusi Melayu.
“Dewan Pemuda Pas Tasek Gelugor bersama dengan pengundi di Permatang Berangan dan Telok Air Tawar akan memastikan kekalahan kepada calon Gerakan di Telok Air Tawar dan calon Bersatu di Permatang Berangan jika tuntutan ini tidak dipenuhi,” tegasnya.
Kemarahan pihak Pas berhubung kedudukan calon bertanding di kedua-dua DUN tersebut semakin ketara apabila Afiq lantang memberi amaran kepada Dominic agar tidak bermain api.
“Jangan sesekali bermain dengan api nanti api itu sendiri akan memakan diri.
“Jangan cabar kesabaran Pemuda Pas!” marahnya lagi.
Sebelum ini, desas-desus mendakwa setiap parti dalam PN diberikan satu kerusi dalam tiga DUN di Parlimen Tasek Gelugor.
P.042 Tasek Gelugor yang kini disandang Bersatu melalui Datuk Wan Saiful Wan Jan mempunyai tiga DUN iaitu Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Air Tawar.
Kemenangan PN ke atas Parlimen Tasek Gelugor pada PRU15 dilihat mengejutkan pemerhati politik selain Parlimen Kepala Batas dan Parlimen Permatang Pauh.
Dalam tiga kawasan Parlimen terbabit, terdapat sembilan kerusi DUN majoriti Melayu.
Selain Permatang Berangan dan Telok Air Tawar, kerusi majoriti Melayu lain di Pulau Pinang ialah Penaga, Sungai Dua, Penanti, Pinang Tunggal, Permatang Pasir, Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh dan Sungai Bakap.
Sumber: https://harapandaily.com/pemuda-pas-berang-tuntut-dominic-berundur-dari-kerusi-melayu/