Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini tampil mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dikritik
Dan didesak supaya meletakkan jawatan semasa mesyuarat Muktamar Pemuda PAS di Kerdau, Temerloh semalam.
Bagi Razlan Rafii, usul yang diluluskan oleh Pemuda PAS yang mahu Anwar berundur disifatkan seperti “jantan tak cukup sifat.”
Menurutnya, Pemuda PAS diibaratkan sebagai pendekar yang gemar “memukul curi” dalam beradu kekuatan dan hanya ingin menang secara percuma.
“Jika sifat seorang pemuda gagah berpencak silat, langkahnya pasti garang seperti seorang panglima tanpa gerakan ‘sumbang’ menanti lawan menyerang.
Namun, pemuda (PAS) ini ingin beradu kekuatan, tetapi gemar memukul curi dari belakang tatkala lawannya sibuk mempersembahkan gerak ‘bunga’. Pemuda jenis ini hanya ingin menang percuma tanpa berjuang lebih, dan ini memang wujud dalam masyarakat kita.
“Apabila berucap di hadapan pentas, habis semua ayat pendekar tujuh lapis langit diucapkan, berserta dalil seolah-olah boleh menewaskan satu kampung. Tetapi apabila turun ke gelanggang, hilang semua langkah silat dan ‘jantannya.’ Hanya cacian dan makian dihamburkan sambil batu-batu kecil dilempar ke arah lawan tanpa pertembungan fizikal. Begitulah ‘jantan tak cukup sifat’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pemuda PAS meluluskan usul mendesak Anwar supaya meletakkan jawatan dengan kadar segera. Usul itu dibawa oleh perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan, yang dibahaskan dan diluluskan sebulat suara.
Menurut Abdul Abidi, tempoh dua tahun sudah cukup untuk Anwar melaksanakan dasar dan janji-janji yang dilaungkan. Namun, katanya, satu persatu janji manis dilanggar, dan kerajaan PMX (Perdana Menteri ke-10) tidak menunjukkan kematangan serta kebertanggungjawaban dalam mentadbir negara.
“Sikap kepura-puraan dalam pentadbiran serta keengganan mengambil tanggungjawab terhadap masalah ekonomi negara menyebabkan rakyat semakin meluat,” katanya.
Razlan dalam ulasannya berkata, Pemuda PAS tidak perlu membuat gesaan sebulat suara menuntut Anwar meletakkan jawatan kerana empat sebab yang dibentangkan hanyalah bersifat politik. Beliau menegaskan bahawa PMX dan jemaah menteri sedang melaksanakan amanah dan tanggungjawab memulihkan ekonomi negara.
“Pemuda PAS wajar mengingat kembali ketika zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN), di mana PAS turut terlibat, pentadbiran ketika itu sangat tidak teratur. Dewan Rakyat diisytiharkan darurat politik, tidak dibenarkan bersidang, dan peruntukan penting tidak diluluskan ketika pandemik Covid-19,” katanya.
Razlan menambah, pada masa itu, rakyat berada dalam keadaan genting, tetapi kerajaan hanya wujud melalui kaca televisyen, mengumumkan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan.
“Di mana suara PAS, terutama Pemuda PAS ketika itu? Mereka terlalu patuh dan diam sehingga nyawa rakyat menjadi taruhan kerana bantuan hanya disampaikan kepada yang terpilih,” katanya.
Razlan juga menegaskan bahawa pemimpin PAS hari ini seharusnya menunjukkan kematangan dalam memimpin anak muda di dalam parti.