Pemuda Pas akui kekerapan cabutan nombor ekor untuk tambah pendapatan negara

Pemuda PAS hari ini mengajak semua parti politik sama ada dalam Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk menggerakkan usaha membanteras segala aktiviti perjudian di Malaysia.

Ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata aktiviti judi menyumbang kepada kerosakan dan masalah sosial dalam sesebuah negara.

Menyatakan rasa terima kasih kepada senator DAP, Liew Chin Tong, yang membangkitkan isu pertambahan kekerapan cabutan khas judi di negara ini, Khairil Nizam berkata, Pemuda PAS yakin parti itu juga mahu memastikan Malaysia bebas daripada judi.

Justeru, Pemuda PAS berbesar hati mengajak pimpinan-pimpinan DAP, serta parti-parti lain dalam PH mahupun PN untuk bersama-sama membanteras terus segala aktiviti perjudian di Malaysia.

“Semoga Malaysia terus maju pada tahun 2021 tanpa judi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Liew membangkitkan pesoalan mengenai kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada lapan kali pada 2020 kepada 22 kali pada tahun ini.

Katanya cabutan khas perjudian itu dimulakan pada 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah ketika itu apabila kerajaan memberi keizinan.

Asalnya kekerapan cabutan itu ialah tiga kali seminggu.

Menurut Liew sebahagian besar pendapatan daripada cabutan khas berkenaan disumbang terus kepada aktiviti kerajaan.

Pada 2017, kerajaan mengutip RM238 juta daripada cabutan khas tersebut walaupun wabak virus Nipah pun sudah tiada lagi.

Untuk rekod, PAS adalah sebahagian daripada parti komponen PN selain Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Umno pula sudah berkali-kali menegaskan keengganan parti itu untuk menjadi sebahagian daripada PN.

Khairil Nizam berkata Pemuda bimbang dengan langkah kerajaan membenarkan kekerapan cabutan khas itu dikembalikan semula kepada 22 kali seperti sebelum PRU ke-14 lalu.

“Sekalipun kekerapan cabutan ini bertujuan untuk menambahkan pendapatan negara bagi usaha mengekang wabak Covid-19 – seperti kali pertama ia mula diperkenalkan pada 1999 semasa wabak virus Nipah – Pemuda PAS berpendapat ianya bukan jalan penyelesaian terbaik.

“Judi adalah haram di sisi Islam, selain akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat. Masih ada jalan lain yang boleh digunakan, tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” katanya.

Sebagai alternatif, kata Kharil Nizam lagi Pemuda PAS mencadangkan agar peruntukan mengekang penularan wabak Covid-19 ditambah melalui pendapatan sedia ada.

Pemuda PAS juga katanya mencadangkan agar kerajaan menggalakkan usahasama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk menampung kos mengekang wabak tersebut.

“Bagi menunjukkan keseriusan kami menzahirkan ketidaksetujuan dengan cadangan itu, Pemuda PAS memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan serta Kementerian Kewangan.

“Kami sedia berbincang bagi mencari jalan terbaik menambah pendapatan negara untuk mengekang wabak Covid-19, selain membentangkan solusi bagi mengawal dan mengurangkan aktiviti judi di dalam negara,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557345

COMMENTS