Pemuda jadi buta selepas pukul lalat hinggap di muka

Oleh DAHLIA MARZUKI

Seorang lelaki terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang bola mata kirinya selepas memukul lalat kecil di mukanya, lapor Oddity Central.

Menurut laporan dari Yangcheng Evening News, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Wu, membunuh lalat yang berlegar di kepalanya dengan memukulnya di muka.

Pada awalnya, Wu tidak mengendahkan kejadian itu, namun sejam kemudian, mata kirinya menjadi merah, bengkak dan sakit.

Apabila simptomnya semakin teruk, Wu memutuskan untuk pergi ke hospital tempatan di mana dia didiagnosis dengan konjunktivitis (seasonal conjunctivitis).

Walaupun mengambil ubat yang diberi, keadaan Wu semakin merosot dalam beberapa hari berikutnya.

Pemuda jadi buta selepas pukul lalat hinggap di muka

Ketika dia pergi ke hospital sekali lagi, dia hampir kehilangan penglihatan sepenuhnya di mata kirinya dan kawasan sekitar mata kirinya menjadi teruk.

Rupa-rupanya, konjunktivitis yang didiagnosis itu sebenarnya adalah jangkitan bakteria dari lalat yang dipukulnya.

Malangnya bagi Wu, ubat tidak lagi dapat mengawal penyebaran jangkitan, dan kerana jangkitan itu berisiko menjangkiti otaknya, doktor memutuskan untuk membuang bola mata kirinya melalui pembedahan.

Lalat memang sangat ‘menjengkelkan’, terutamanya apabila musim panas. Mereka sering terbang mengelilingi badan kita yang berpeluh, mendarat di kepala dan muka kita.

Bagaimanapun, memukul lalat hingga mati apabila ia hinggap di badan kita juga boleh mendatangkan ‘risiko’, menurut nasihat doktor.

Lalat membawa bakteria berbahaya dan memukul mereka di kulit kita boleh membawa akibat yang serius, tambah Oddity Central lagi.

Kisah tragis Wu kini dijadikan sebagai amaran di China, dengan doktor menasihatkan orang ramai agar tidak memukul serangga di muka atau di mana-mana kawasan yang boleh menyebabkan jangkitan bakteria.

Sebaliknya, pakar menyarankan agar bertenang dan menggunakan tangan untuk menghalau serangga tersebut.

BACA JUGA: